‘Penduduk Gaza putus harapan’

‘Penduduk Gaza putus harapan’

MUHAMMAD NADIR AL-NURI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: “Tiada lagi tem­pat yang selamat, tiada maka­nan, tiada ubat dan rakyat Gaza kini hanya tidur di atas jalan.”

Demikian antara pengakuan memilukan daripada Ketua Pe­gawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman dan seorang rakyat Malaysia yang mempunyai keluarga di Gaza, Nurul Ain Haron mengenai si­tuasi sebenar yang semakin me­runcing di bumi Palestin.

Menurut Nadir, sejak tentera Israel menutup sepenuhnya sem­padan pada 3 Mac lalu, ke­ba­nyakan rakyat Gaza khusus­nya di bahagian utara kini ber­­gantung kepada saki-baki ma­kanan yang masih disimpan oleh peniaga tempatan.

“Setiap hari mereka hanya makan mi kering dan kacang. Bantuan tidak dibenarkan ma­suk, sedangkan keperluan ha­rian kian mendesak.

“Semua hospital di utara ju­ga sudah tidak beroperasi. Di selatan pula, bekalan ubat juga berkurangan. Doktor luar tidak dapat masuk, manakala pesakit hanya bergantung kepada rawatan seadanya,” katanya.

Nadir turut mendedahkan bahawa semakin ramai rakyat Pa­lestin termasuk keluarga mentuanya mula meluahkan rasa putus asa akibat tekanan mental dan fizikal yang berpanja­ngan.

“Kami dengar sendiri suara mereka. Ada yang rela menerima syarat-syarat berat asalkan perang dihentikan. Mereka benar-benar sudah hilang harapan,” katanya.

Tambah beliau, CGM masih meneruskan usaha bantuan kemanusiaan meskipun dalam keadaan yang amat terbatas. Mereka terpaksa mengurangkan bantuan makanan dan menumpukan kepada pendidikan serta sokongan psikososial secara dalam talian.

Dalam satu perkongsian berasingan, Nurul Ain memaklumkan bahawa bapa mentuanya menerima panggilan ancaman bom dari tentera Israel dan hanya diberi masa 10 minit untuk keluar dari rumah.

“Mereka keluar sehelai sepinggang, kini tinggal di tepi jalan tanpa makanan, tanpa khemah. Begitu juga sahabat saya, Asmaa, yang kini hilang jejak ibunya dan turut berada di jalanan.

“Situasi semakin meruncing apabila kawasan Al-Mawasi di Khan Younis yang sebelum ini diisytiharkan sebagai zon pemindahan selamat turut diserang semalam, mengorbankan tujuh penduduk,” kata Nurul Ain.

Dalam pada itu, Nurul Ain turut menyatakan, lebih dua bulan Gaza tidak menerima sebarang bantuan kemanusiaan secara menyeluruh.

“Semalam, daripada 3,000 lori bantuan yang berbaris di sempadan, hanya empat sahaja yang dibenarkan masuk. Ia ibarat setitik air di padang pasir.

“Rakyat Gaza kini menempuh kehidupan yang tidak menentu, tanpa bekalan asas, tanpa tempat berlindung dan tanpa jaminan keselamatan. Ramai tidur di tepi jalan, berpuasa bukan kerana pilihan, tetapi kerana kelaparan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×