Tengku Maimun sebagai Ketua Hakim Negara jadi tanda tanya

Kedudukan Tengku Maimun sebagai Ketua Hakim Negara masih tanda tanya

TUN TENGKU MAIMUN TUAN MAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kedudukan Tun Tengku Maimun Tuan Mat sama ada masih memegang jawatan sebagai Ketua Hakim Negara selepas 30 Jun ini masih menjadi tanda tanya.

Ini kerana sehingga hari ini, Ketua Hakim Negara wanita pertama itu masih belum menerima sebarang tawaran untuk melanjutkan perkhidmatannya.

Bagaimanapun ketika ditanya sama ada beliau akan menerima lanjutan perkhidmatan itu, Tengku Maimun dilihat mengambil pendekatan `tunggu dan lihat’.

“Saya tidak fikir saya patut jawab (soalan itu) tetapi kita tunggu. Ia (tawaran lanjutan perkhidmatan) mungkin akan datang, jadi kita tunggu. Buat masa ini, belum lagi.

“Ada tiga lagi tawaran lanjutan perkhidmatan yang kita masih lagi menunggu, saya (Tengku Maimun), Tan Sri PCA (Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim) dan Tan Sri Nallini Pathmanathan (Hakim Mahkamah Persekutuan),” katanya.

Tengku Maimun berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia Hakim Mahkamah Persekutuan dan Hakim Mahkamah Rayuan di Istana Kehakiman di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Abang Iskandar; Hakim Besar Malaya, Datuk Seri Hasnah Mohammed Hashim dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Abdul Rahman Sebli.

Menurut Perkara 125(1) Perlembagaan Persekutuan, seseorang hakim Mahkamah Persekutuan hendaklah memegang jawatan sehingga mencapai umur 66 atau sehingga suatu masa kemudiannya yang diluluskan oleh Yang di-Pertuan Agong tidak boleh melebihi tempoh enam bulan.

Abang Iskandar akan mencapai usia persaraan wajib bagi hakim iaitu 65 tahun pada 1 Julai ini. Beliau turut dikatakan bakal pengganti Ketua Hakim Negara, sekiranya tiada sebarang lanjutan diberikan kepada Tengku Maimun.

Nallini yang merupakan hakim paling senior di Mahkamah Persekutuan dan akan mencapai usia persaraan pada 21 Ogos ini.

Pada majlis angkat sumpah yang dijalankan petang tadi, seorang hakim dinaikkan jawatan sebagai Mahkamah Persekutuan manakala dua lagi hakim dinaikkan kepada Hakim Mahkamah Rayuan.

Lee Swee Seng, 65, yang dilantik ke jawatan Hakim Mahkamah Persekutuan memulakan kejayanya dalam perundangan pada 1985 sebagai peguam dan merupakan ketua panel hakim yang akan membuat keputusan berhubung pertikaian tanah seluas 106.542 hektar di Jalan Duta (kini dikenali sebagai Jalan Tuanku Abdul Halim) pada 24 Jun ini.

Sementara itu, Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz, 63, dilantik ke Hakim Mahkamah Rayuan merupakan hakim yang mendengar permohonan semakan kehakiman bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung Titah Adendum di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada 28 April lalu, Hayatul Akmal telah memerintahkan semua prosiding termasuk permohonan kerajaan untuk mendapatkan perintah larangan bersuara (gag order) membabitkan semakan kehakiman itu ditangguhkan sehingga rayuan Peguam Negara berhubung Titah tersebut didengar dan diputuskan Mahkamah Persekutuan.

Seorang lagi hakim dilantik ke jawatan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Dr. Lim Hock Leng yang berasal dari Sabah merupakan hakim yang menjatuhi hukuman penjara 20 tahun terhadap bekas isteri pemandu e-hailing, Nurima Juli yang mengaku bersalah menyebabkan kematian Nurman Bakaratu, dua tahun lalu.

Kes pembunuhan Nurman menarik perhatian kerana pada mulanya ia membabitkan bekas Ketua Staf Perisikan ESSCOM, Senior Asisten Komisioner Datuk Mat Zaki Md Zain (B) bersama tujuh individu lain yang didakwa bersubahat dan membunuh pemandu e-hailing itu dan Nurima merupakan saksi utama pendakwaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×