UKM, USM projek rintis Program Pendidikan Tingkatan Enam

UKM, USM dipilih projek rintis program pendidikan tingkatan enam di universiti awam

LEPASAN SPM 2024 yang berjaya dan menerima tawaran ke Tingkatan Enam serta memenuhi syarat yang ditetapkan boleh membuat permohonan program itu mulai 19 Mei hingga 25 Mei ini.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan melaksanakan Program Pendidikan Tingkatan Enam di universiti awam (UA) bermula tahun ini bagi lepasan pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024.

Kementerian itu dalam kenyataan memaklumkan, program tersebut dilaksanakan melalui kerjasama silang bersama Kementerian Pendidikan Tinggi dengan projek rintis berkenaan diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Kata kenyataan itu, dua bidang pengajian ditawarkan iaitu sains dan sains sosial bagi mereka yang membuat permohonan kemasukan program itu.

“Lepasan SPM 2024 yang berjaya dan menerima tawaran ke Tingkatan Enam serta memenuhi syarat yang ditetapkan boleh membuat permohonan program itu mulai 19 Mei (hari ini) hingga 25 Mei ini. 

“Keputusan kemasukan ke program ini boleh disemak pada 3 Jun depan melalui pautan https://sst6.moe.gov.my/,” katanya dalam kenyataan semalam.

Katanya, bagi murid yang tidak menerima tawaran, rayuan boleh dibuat mulai hari ini hingga 25 Mei. 

“Keputusan rayuan boleh disemak melalui kaedah yang sama pada 3 Jun depan.

“Semua murid yang menerima tawaran ke Tingkatan Enam perlu melapor diri di Pusat Tingkatan Enam yang dinyatakan dalam surat tawaran pada 10 Jun depan,” katanya.

Sebelum ini, proses pembelajaran Tingkatan Enam berlangsung di premis persekolahan di bawah Kementerian Pendidikan.

Kerajaan namun melakukan penjenamaan semula Tingkatan enam menjadi salah satu inisiatif dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dengan memperkasanya melalui peningkatan imej, sistem dan kualiti pendidikan setaraf pendidikan lepasan menengah yang lain selepas SPM seperti matrikulasi atau pusat asasi sebagai salah satu laluan utama ke universiti.

Perkara ini bagi mengubah persepsi masyarakat terhadap Tingkatan Enam yang merupakan laluan untuk melanjutkan tahap pengajian lebih tinggi.

Tempoh pengajian di Tingkatan Enam adalah selama tiga semester dengan pelajar yang telah menamatkan pengajian menengah atas dan menduduki peperiksaan SPM, layak ditawarkan jika memenuhi syarat umum dan syarat khusus bagi bidang ditawarkan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×