MINAT yang mendalam terhadap kopi dan keinginan membina ruang komuniti menjadi pemangkin kepada penubuhan Minutes Coffee, sebuah kafe kejiranan yang kini semakin dikenali di Wangsa Melawati.
Kafe yang diasaskan oleh tiga rakan, Ariff Iman Asmadi Yusri, 25, Danish Ihsan Ahmad Jufliz, 25, dan Vinesh T Puvanaendran, 37, kini mencatatkan purata jualan bulanan sekitar RM50,000 hasil sokongan pelanggan setia dan strategi operasi yang terancang.
Ariff yang merupakan Pengarah Pembangunan Perniagaan berkata, ketiga-tiga mereka berasal dari latar belakang teknikal dan kerjaya korporat sebelum mengambil keputusan meninggalkan pekerjaan tetap untuk mengejar impian membuka kafe sendiri.
Katanya, dia dan Danish merupakan graduan Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) dalam jurusan kejuruteraan mekanikal dan sains komputer, manakala Vinesh adalah jurutera mekanikal berpengalaman.
“Kami buka kafe ini pada 1 September 2024. Semasa belajar, saya dan Danish pernah jual kopi dan pasta di acara universiti. Minat itu tidak pernah padam dan apabila peluang datang, kami buat keputusan untuk lebih serius dalam bidang ini.
“Pengalaman Danish sebagai barista sambilan ketika masih bekerja sepenuh masa turut menjadi kelebihan yang membantu kami menguruskan operasi kafe secara harian,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Ariff berkata, idea membuka kafe tercetus daripada sesi perbualan santai sesama rakan yang mahu keluar daripada rutin kerja korporat dan membina sesuatu yang bermakna kepada komuniti.
Katanya, matlamat utama mereka adalah untuk mewujudkan sebuah ruang kejiranan yang selesa dan mesra pelanggan, lengkap dengan Wi-Fi percuma, soket kuasa dan permainan papan bagi membina suasana santai seperti di rumah.
“Kami selalu berbincang tentang kopi dan impian untuk ada satu tempat sendiri yang selesa dan santai. Dari situ, tercetuslah idea untuk jadikan kafe ini kenyataan.
“Minutes Coffee kini menghidangkan pelbagai jenis kopi istimewa, pastri dan pencuci mulut yang disediakan dengan teliti serta bahan berkualiti tinggi.
“Selain itu, kafe kami juga menawarkan perkhidmatan katering kopi untuk pelbagai acara termasuk majlis perkahwinan, sambutan hari lahir dan acara korporat.
“Walaupun tidak mempunyai pengalaman formal dalam industri makanan dan minuman (F&B), kami memanfaatkan semangat belajar dan membuat banyak kajian sebelum memulakan operasi.
“Kami belajar sendiri, ambil kursus, buat penyelidikan pasaran dan banyak percubaan dan kesilapan sebelum capai tahap sekarang. Paling penting, kami sentiasa jaga kualiti dan pengalaman pelanggan,” katanya.
Namun, perjalanan membina jenama ini bukanlah mudah terutama pada peringkat awal apabila mereka perlu menembusi pasaran yang sangat kompetitif, dikelilingi puluhan kafe lain yang beroperasi dalam lingkungan lima kilometer dari lokasi mereka.
“Antara aspek paling mencabar ialah pemasaran. Kami perlu benar-benar menonjolkan keunikan kafe ini agar berbeza daripada yang lain. Jadi, kami fokus kepada kekuatan ruang kami yang lapang dan selesa ibarat rumah kedua buat pelanggan.
“Untuk memastikan kelainan tersebut menonjol, dekorasi dalaman kafe sentiasa dikemas kini bagi mengekalkan suasana segar dan menarik untuk dipromosikan bersama menu di media sosial.
“Kami guna pelbagai pendekatan kreatif dan sumber yang ada untuk tarik pelanggan. Walaupun beroperasi dalam keadaan rugi pada tiga bulan pertama, kami tidak lari daripada visi asal dan terus cari jalan untuk pulih,” jelasnya.
Ariff berkata, mereka juga berdepan cabaran dari segi pengurusan masa kerana masih bekerja sepenuh masa ketika fasa awal penubuhan kafe.
“Kami bahagikan tanggungjawab sesama sendiri dan sentiasa adakan perbincangan tetap untuk pastikan semua tugasan bergerak lancar.
“Sokongan pelanggan juga menjadi kekuatan utama kepada jenama Minutes Coffee dan menjadi motivasi untuk terus maju ke hadapan.
“Kami percaya kalau kita jujur dalam berniaga dan konsisten dengan apa yang kita tawarkan, pelanggan akan datang semula dan bantu jenama ini berkembang,” katanya.
Memandang ke hadapan, Ariff berkata, pihaknya kini dalam perancangan untuk membuka lebih banyak cawangan Minutes Coffee di lokasi strategik, selain memperluaskan segmen katering untuk pasaran korporat dan majlis istimewa.
“Kami nak terus cipta ruang kejiranan yang mesra dan selesa di tempat-tempat lain, tapi tetap kekalkan identiti asal Minutes Coffee santai, berkualiti dan berjiwa komuniti,” ujarnya.-UTUSAN









