Belajarlah urus jenazah bakti terakhir untuk keluarga

Belajarlah urus jenazah bakti terakhir untuk keluarga

ROKIAH IDRIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WALAUPUN hukum memandikan jenazah adalah fardu kifayah namun lebih afdal sekiranya keluarga terutama anak kepada si mati itu menyempurnakan sendiri bakti terakhir mereka itu.

Belajarlah mengurus jenazah walaupun sekali dalam seumur hidup agar ilmu tersebut dapat dipraktikkan apabila berhadapan dengan kematian insan yang kita sayang suatu hari nanti.

Demikian kata Ustazah Rokiah Idris, 82, seorang guru agama yang berpengalaman lebih 40 tahun dalam bidang pengurusan jenazah ketika mengingatkan bahawa perkara itu adalah salah satu bakti terakhir kita.

“Memanglah fardu kifayah. Kalau orang lain buat jadi tak perlulah lagi kita buat. Tetapi sebolehnya belajarlah serba sikit tentang ilmu pengurusan jenazah termasuk tatacara memandikan jenazah ini untuk keluarga kita atau sahabat handal kita nanti.

“Inilah bakti terakhir kita untuk mereka terutama ibu bapa kita yang sudah banyak berjasa kepada kita sejak dilahirkan itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kubur Panjang dekat Pendang, baru-baru ini.

Ustazah Rokiah yang pernah berkelana di bumi Mekah untuk menuntut ilmu agama itu ketika berkongsi pengalamannya memandikan jenazah berkata, hatinya tersentuh setiap kali melihat tiada dalam kalangan keluarga si mati ingin tampil ke hadapan untuk melaksanakan tanggungjawab itu.

USTAZAH ROKIAH IDRIS
Pendidikan:
Maahad Tarbiyah Aulad, Pendang
Jawatan
Pendakwah bebas
Guru agama

“Bagi wanita khususnya yang paling utama adalah daripada wanita yang mempunyai hubungan dengan si mati atau mahramnya selepas itu baru bukan keluarga. Kecualilah jika si mati tidak mempunyai waris atau sesiapa lagi.

“Setiap kali mandikan jenazah saya sebolehnya akan panggil anggota keluarga untuk sama-sama melakukannya walaupun sekadar membantu saya sahaja. Itulah lebih afdal sekiranya mereka tahu tata cara menguruskan jenazah ini.

“Kalaulah ada kursus menguruskan jenazah di mana-mana pergilah sertai. Jangan lepas peluang dan banyak ganjaran pahala yang kita dapat nanti,” jelasnya yang terkenal dengan pengajian pelbagai kitab di sekitar Pendang dalam kalangan wanita yang ingin mendalami ilmu agama khususnya tauhid.

Beliau turut menitipkan tatacara memandikan jenazah berdasarkan ilmu yang diperolehnya iaitu selain langkah dan doa namun paling utama adalah menjaga kehormatan dan aib sepanjang melakukan proses tersebut.
“Perkara ini yang sering saya beritahu ketika mengajar kursus menguruskan jenazah ini jaga kehormatan dan aib jenazah itu jangan sesekali bercerita itu ini kepada sesiapa, semuanya simpan dalam hati kerana takut mendatangkan fitnah atau apa sahaja.

“Siapa yang memandikan jenazah lalu dia sembunyikan keaiban pada jenazah itu maka diampunkan untuknya 70 dosa besar,” seperti dijelaskan dalam hadis Rasulullah SAW. Ini menjelaskan tentang satu ganjaran besar bagi kita memandikan jenazah,” jelasnya.

Kata beliau, dalam pengurusan jenazah banyak pengajaran yang diperoleh daripada setiap prosesnya termasuk pelajaran bahawa setiap kehidupan pasti ada kematian dan setiap daripada kita harus mempersiapkan bekalan ibadah untuk menghadapinya.

“Melihat kematian adalah peringatan, salah satunya kita harus sedar siapa pun kita hari ini bila tiba hari itu, tiada apa yang boleh kita bawa ke kubur. Pakaian kita juga cuma kain kafan dan persalinan putih itu sahaja.

“Ini adalah persediaan rohani kita ketika masih hidup untuk membaiki amalan sebagai persediaan bertemu Pencipta kita nanti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×