NAMA Restoran Char Kuey Tiow Semerak, di Jalan Pintasan, Pasir Puteh, Kelantan tidak asing bagi penggemar yang ingin menikmati resipi asli masakan panas daripada Pulau Pinang.
Apa yang menjadikannya istimewa bukan sekadar rasa ‘ori’ atau asli dari dapur Kampung Balik Pulau tetapi inovasi unik tauke mudanya menghasilkan gabungan char kuetiau chicken chop dalam satu sajian.

Pengusaha restoran itu, Hilmi Ahmad, 27, berkata, dia memperkenalkan gabungan char kuetiau chicken chop, lengkap dengan ayam paha goreng rangup dan jeruk cili padi buatan sendiri untuk membangkitkan selera pengunjung.
Dia yang memegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, minat dalam bidang masakan mula berputik ketika menjadi pelayan warung char kuetiau di Semerak, Kelantan.
“Boleh dikatakan bermula sebagai kuli memberi laluan kepada saya belajar menggoreng dengan bimbingan pemilik warung yang berasal dari Kampung Balik Pulau, Pulau Pinang.
RESTORAN CHAW KUEY TIAU SEMERAK
Waktu Operasi: setiap hari bermula pukul 5 petang hingga 11.30 malam
Lokasi : Jalan Pintasan Pasir Puteh- Kota Bharu, Kelantan.
“Setahun bersama kuali dan goreng menggoreng akhirnya saya menggunakan wang gaji yang ditabung untuk membuka sendiri restoran di pinggir bandar Pasir Puteh,” katanya ketika ditemui di Rastoran Chaw Kuey Tiow Semerak baru-baru ini.
Restoran berkenaan yang beroperasi setiap hari bermula pukul 5 petang hingga 11.45 malam, kini menjadi tumpuan utama keluarga sekitar Kampung Jalan Pintasan ke Kota Bharu yang ingin menikmati rasa autentik char kuetiau Penang – tanpa perlu ke utara tanah air.
“Saya belajar dengan orang Pulau Pinang sendiri, jadi pelayan di kedai mereka selama setahun setengah. Dari situ saya belajar setiap langkah sampai jadi tukang masak,” katanya yang memulakan perniagaan secara rasmi pada 20 Januari lalu.
Menurut Hilmi, selain menu asas seperti char kuetiau biasa (RM7) dan ‘special’ iaitu campuran udang dan kerang (RM8), pelanggan juga boleh mencuba menu inovatif char kuetiau chicken chop dengan harga RM14.
Katanya, kombinasi unik dua gabungan resipi itu sukar didapati di tempat lain.
“Turut ditawarkan menu lain seperti char kuetiau pantai (dengan sotong, ayam, dan telur sotong) turut mendapat permintaan tinggi, khususnya selepas waktu Maghrib.
“Perkhidmatan pantas adalah piagam pelanggan kami dengan jaminan menunggu hidangan tidak melebihi 15 minit selepas pesanan makanan dibuat,” katanya.
Hilmi berkata, lima pekerjanya bermula tanpa asas memasak, tetapi diberi latihan penuh olehnya sendiri sebagai balas jasa kepada tauke lama yang tidak lokek ilmu dan sabar mengajarnya.
“Saya percaya siapa pun boleh jadi tukang masak kalau diberi peluang dan diajar dengan betul. Kita bermula dari kosong dan terbukti berjaya lahirkan tukang masak muda di restoran ini,” jelasnya.
Menurutnya, dapur restoran itu menggunakan lebih 200 butir telur ayam, enam kilogram (kg) udang, 10 kg kerang dan 20 kg kuetiau dalam tempoh lebih enam jam berniaga setiap hari.
Katanya, jumlah bahan mentah boleh meningkat sekali ganda ketika musim perayaan – pernah mencecah 400 butir telur dan 30 kg kuetiau dalam sehari semasa Aidilfitri lalu atau musim cuti persekolahan.
Dengan gabungan rasa asli, inovasi moden dan sentuhan inovasi, Restoran Chaw Kuey Tiow Semerak bukan sahaja mengenyangkan perut – malah mengangkat kisah usaha dan dedikasi seorang anak muda yang menapak dari bawah. – UTUSAN










