CANNES: Dua ekor paus pembunuh (orca) dan 12 ikan lumba‑lumba terperangkap dalam keadaan daif di sebuah taman marin terbengkalai di selatan Perancis sejak Januari lalu.
Rakaman dron yang didedahkan kumpulan aktivis haiwan antarabangsa, TideBreakers, menunjukkan dua paus itu—Wikie, 23, dan anaknya Keijo yang berusia 11 tahun—berenang tanpa arah di kolam dalam kawasan Marineland Antibes, berhampiran Cannes, Perancis.
Rakaman sama turut memaparkan kolam berlumut yang menempatkan ikan lumba‑lumba lain dalam keadaan tidak terurus sejak taman tersebut menutup operasinya pada 5 Januari, susulan penguatkuasaan undang-undang Perancis yang melarang pertunjukan haiwan cetacea seperti paus dan lumba‑lumba.
Menurut pengasas bersama TideBreakers, Marketa Schusterova, keadaan di Marineland kini amat mendesak dan perlu diberi perhatian antarabangsa.
“Ini adalah dua paus pembunuh terakhir yang masih dikurung di Perancis. Mereka perlu dipindahkan segera daripada persekitaran berisiko yang boleh mengancam nyawa dan kesihatan mereka,” katanya.
Meskipun taman tersebut sudah ditutup untuk orang awam, pengurusan Marineland masih bertanggungjawab secara sah terhadap kebajikan haiwan-haiwan itu, namun hanya mengekalkan beberapa staf minimum untuk memberi makanan harian tanpa sebarang rangsangan mental yang penting bagi spesies sosial seperti orca.
Usaha memindahkan paus tersebut ke lokasi baharu masih buntu apabila dua cadangan pemindahan ke taman marin di Jepun dan ke tempat perlindungan paus di Kanada ditolak oleh kerajaan Perancis.
Menteri Ekologi Perancis, Agnès Pannier-Runacher sebelum ini menyatakan pihaknya sedang mencari lokasi perlindungan di Eropah, namun sehingga kini tiada tapak yang dikenal pasti.
Sementara itu, Marketa turut mengkritik pihak pengurusan Marineland dan pemiliknya, Parque Reunidos, serta pihak berkuasa Perancis atas kegagalan merancang dan menguruskan keadaan tersebut secara serius.
“Kedua-dua paus ini dilahirkan dalam kurungan dan tidak mungkin dilepaskan ke habitat liar. Selepas bertahun menghiburkan orang ramai, sekurang-kurangnya mereka berhak untuk hidup dalam persekitaran yang bersih dan selamat pada penghujung usia mereka,” tegasnya. – AGENSI











