Buang separuh pemain United - Ferdinand

Buang separuh pemain United – Ferdinand

RIO FERDINAND
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Kira-kira 50 peratus daripada skuad Manchester United kendalian Ruben Amorim ketika ini perlu digugurkan bagi mengembalikan maruah The Red Devils di peringkat domestik.

Bekas pertahanan United, Rio Ferdinand berkata, Amorim memerlukan sekurang-kurangnya dua jendela perpindahan untuk membina semula pasukan yang sesuai dengan visinya di Old Trafford.

“Perlukan perubahan besar dalam pasukan untuk melihat United Kembali ke landasan sebenar dan pengurusan juga perlu bergerak lebih awal untuk tujuan tersebut termasuk melihat pemain berkualiti.

“United perlu aktif dalam dua jendela perpindahan akan datang, Amorim juga kena mainkan peranan untuk melihat pemain yang sesuai dengan taktikalnya,” kata bekas pertahanan England itu.

United kini menghadapi musim domestik terburuk dalam sejarah moden mereka, berada di tangga ke-16 Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas kekalahan 0-2 di tangan West Ham di Old Trafford.

Kekalahan tersebut menyaksikan kekalahan liga kesembilan di tempat sendiri musim ini, sekali gus memberi tamparan hebat kepada Amorim yang tiba pada November lalu bagi menggantikan Erik Ten Hag.

Pasukan itu hanya memenangi enam daripada 25 perlawanan liga di bawah kendalian Amorim, dengan kemenangan terakhir menentang Leicester City yang sudah tersingkir pada 16 Mac lalu.

Walaupun melalui prestasi buruk, Amorim dilaporkan masih mendapat sokongan daripada pihak pengurusan kelab dan dijangka kekal sebagai pengurus walaupun jika mereka tewas dalam perlawanan akhir Liga Europa menentang Tottenham Hotspur pada 22 Mei ini.

Kemenangan dalam perlawanan itu bukan sahaja akan memberikan trofi tetapi juga kelayakan ke Liga Juara-Juara musim depan, yang kini menjadi satu-satunya peluang United untuk menyelamatkan musim mereka.

Di sebalik cabaran itu, Amorim menyatakan bahawa beliau memerlukan masa dan sokongan untuk membina semula pasukan yang mampu bersaing di peringkat tertinggi.

Beliau juga mengambil tanggungjawab atas prestasi buruk pasukan dan menyedari bahawa perubahan besar diperlukan untuk membawa United kembali ke landasan yang betul. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×