Bapa rogol anak kandung kekal penjara 36 tahun, disebat 24 kali

Bapa rogol anak kandung kekal penjara 36 tahun, disebat 24 kali

ISTANA KEHAKIMAN PUTRAJAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pemilik sebuah bengkel kereta kekal dipenjara 36 tahun dan sebatan 24 kali atas kesalahan melakukan merogol dan mencabul anak perempuannya ketika mangsa berusia 12 tahun, empat tahun lalu.

Ia selepas panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai  Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan bersidang bersama-sama Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin menolak rayuan lelaki berusia 43 tahun itu.

Panel terbabit memutuskan demikian selepas mendapati tiada merit dalam rayuan pemilik bengkel itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Zander Lim Wai Keong mengesahkan perkara itu ketika dihubungi media petang tadi.

Pada prosiding hari ini, pemilik bengkel itu selaku perayu diwakili peguam, Matthews Matt.

Sekitar Jun 2021, pemilik bengkel itu didakwa di Mahkamah Sesyen atas tujuh pertuduhan membabitkan satu pertuduhan melakukan amang seksual terhadap mangsa, tiga pertuduhan sumbang mahram dan dua pertuduhan melakukan seks luar tabii menggunakan objek.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan pada 7 hingga 9 Jun 2021, di rumah lelaki berkenaan di Sungkai, Perak.

Menurut fakta kes, mangsa merupakan anak hasil perkahwinan terdahulu lelaki berkenaan namun kanak-kanak itu tinggal dan dibesarkan oleh neneknya di lokasi berlainan.

Pada masa kejadian, lelaki terbabit telah berkahwin buat kali kedua.

Mangsa telah diperlakukan sedemikian rupa selama tiga hari berturut-turut sehari selepas dia dibawa oleh bapanya dari rumah neneknya ke kediamannya (lokasi kejadian) untuk tinggal bersama buat beberapa hari.

Dalam salah satu kejadian, mangsa telah dirogol bapanya ketika mangsa sedang tidur bersama adiknya di atas katil yang sama.

Lelaki terbabit dalam pembelaannya mendakwa koyakan pada selaput dara anak perempuannya yang ketika itu berusia 12 tahun adalah disebabkan mangsa telah melakukan hubungan seks dengan rakan sekolahnya.

Pada 10 Julai 2023, lelaki terbabit didapati bersalah atas kesemua pertuduhan dan dijatuhi hukuman penjara 68 tahun dan sebat 24 kali.

Pada 8 Ogos 2024, Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan salah perayu namun meminda hukuman penjara yang dikenakan terhadapnya.

Hukuman penjara lelaki itu dipendekkan daripada 68 tahun kepada 36 tahun selepas Mahkamah Tinggi memerintahkan agar hukuman bagi kesalahan sunbang mahram dan seks luar tabii dijalankan secara serentak.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×