PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) meneliti keperluan penggunaan bas bagi menggantikan trak untuk membawa anggota ke lokasi penugasan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, selain itu antara cadangan yang sedang dipertimbangkan ialah pemasangan sistem keselamatan penumpang yang lebih baik dan memasang kamera pemuka dalam trak milik PDRM.
Beliau berkata, pihaknya juga meneliti beberapa perkara lagi sebagai langkah penambahbaikan bagi memastikan kesejahteraan anggota PDRM semasa perjalanan secara konvoi.
Katanya, perbincangan berhubung perkara itu akan diadakan antara kepimpinan tertinggi Bukit Aman dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).
“Isu ini bukan hanya melibatkan pasukan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) sahaja sebaliknya merangkumi elemen lain di bawah KDNKA seperti Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menggunakan trak jenis sama bagi tujuan pengangkutan anggota.
“Pelaksanaan tersebut mungkin berdepan kekangan dari segi kesesuaian, memandangkan trak berkenaan menggunakan tempat duduk panjang,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Kelmarin, kenderaan FRU dinaiki 18 anggota dalam perjalanan pulang dari penugasan dirempuh lori muatan batu.
Menurut Razarudin, penggunaan bas bagi menggantikan trak untuk pergerakan anggota turut dikaji, namun cadangan itu melibatkan implikasi kewangan yang tinggi kerana keperluan penggunaan lebih daripada satu bas bagi setiap operasi.
“Selain itu, kita turut mempertimbang kaedah pengiring konvoi oleh kenderaan peronda lebuh raya dengan penyerahan tugas pengiring kepada kontinjen negeri apabila konvoi merentasi sempadan negeri,” jelasnya.
Katanya, isu keselamatan anggota sentiasa menjadi keutamaan pihak polis dan sebarang keputusan akan dibuat selepas perbincangan lanjut bersama KDNKA.
“Kita akan teliti corak pergerakan anggota serta keperluan semasa, sebelum memutuskan langkah terbaik yang boleh dilaksanakan,” katanya.-UTUSAN










