TELUK INTAN: ‘Saya tak dapat lupakan rintihan minta tolong kawan-kawan yang bergelimpangan’.
Itu luahan Mohd Hanif Taufik Rodzi, 26, anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5 Sungai Senam Ipoh yang cedera dalam nahas trak FRU dan lori di Teluk Intan semalam.
Menceritakan detik kemalangan, Mohd. Hanif berkata, dia ketika itu duduk di bahagian hujung belakang trak bersama-sama antara anggota FRU lain ketika mereka dalam perjalanan untuk pulang ke Ipoh selepas selesai bertugas semasa Chitra Pournami di sini.
Katanya, kerana duduk di bahagian belakang trak, dia tidak nampak keadaan di hadapan.
“Perjalanan kami lancar kerana pergerakkan trak tidak laju, namun secara tiba-tiba saya terdengar dentuman yang kuat di bahagian depan trak dan tahu-tahu saya sudah terbaring di dalam trak.
“Ketika itu saya terdengar rintihan meminta tolong daripada kawan-kawan yang terbaring di dalam trak namun saya tak terdaya nak membantu kerana terasa sangat sakit.
“Sehingga kini saya masih tak dapat melupakan rintihan mereka meminta tolong dan tidak sangka kehilangan sembilan kawan sekali gus dalam tragedi ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Hospital Teluk Intan semalam.
Akibat kemalangan, Mohd. Hanif yang berasal dari Perlis yang sudah bertugas sebagai anggota FRU selama lima tahun berkata, dia mengalami kecederaan pinggang dan patah tulang rusuk akibat nahas tersebut.
Katanya, dalam keadaan terbaring menanggung kesakitan, dia gagahkan juga kudrat untuk bangun namun tidak terdaya.
“Saya tidak sempat hendak pegang apa-apa untuk bangun, saya cuba bangun dengan usaha sendiri tetapi gagal. Ketika hendak bangun saya terdengar kawan-kawan meraung, mereka dalam kesakitan sedangkan saya sendiri sudah tidak dapat menahan kesakitan.
“Saya bersyukur kerana selamat namun sangat sedih dengan kehilangan kawan-kawan. Saya ucap takziah kepada keluarga mereka di atas tragedi yang berlaku,” katanya.-UTUSAN










