KUALA LUMPUR: Penyanyi, Aziz Harun mendedahkan dirinya sudah dua tahun menetap di Kuala Lumpur demi memudahkan pergerakannya dalam industri muzik tanah air.
Menurut Aziz, keputusan itu dibuat kerana sebelum ini dirinya mengalami kesukaran untuk berkarya melalui atas talian selain perlu berulang-alik ke Malaysia demi tuntutan kerja.
“Saya sudah menetap di Kuala Lumpur selama dua tahun. Alhamdulillah, sekarang saya tidak perlu berulang-alik dari Brunei dan boleh fokus bekerja di studio dan menghasilkan karya baharu.
“Ketika di Brunei, sukar untuk saya bekerja kerana segalanya perlu berurusan secara panggilan video, WhatsApp dan sebagainya. Di sini juga lebih mudah untuk saya bertemu dengan teman media,” katanya.
Dalam masa sama, penyanyi lagu Senyum itu mengakui keputusannya untuk menetap di Malaysia secara tidak langsung memberi impak positif terhadap karier nyanyiannya.
“Saya sukakan Malaysia. Menetap di sini buat saya rasa positif 100 peratus. Segala yang saya lakukan menjadi. Alhamdulillah, lagu Ketipak Ketipung Raya dan Janji pun menjadi. Segalanya berjalan dengan lancar dan momentum itu sudah di situ,” katanya.
Aziz bagaimanapun memberitahu dia tidak mempunyai sebarang masalah untuk menziarahi keluarganya di Brunei kerana penerbangan hanya mengambil masa dua jam.
“Keluarga saya pun selalu datang ke Kuala Lumpur dan melawat saya, jadi tiada masalah. Alhamdulillah, selepas habis belajar saya terus dapat visa untuk menetap di Malaysia. Mereka juga selalu datang ke sini untuk bercuti,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Aziz bakal membuat persembahan di festival muzik, Latihan Pestapora Malaysia yang akan berlangsung di Sunway Lagoon, Petaling Jaya, pada 26 Julai depan.
Festival mega itu juga turut menampilkan barisan penyanyi Indonesia seperti Feast, Hindia, Barasuara X Efek Rumah Kaca, Feel Koplo, Kunto Aji dan Pamungkas.
Manakala, artis tempatan yang akan memeriahkan lagi festival itu adalah Bittersweet, Bunkface, Dolla, SonaOne, Salammusik dan ramai lagi.-UTUSAN











