Sebelum ini, kebanyakan kita mungkin hanya mengenali habbatus sauda melalui produk penjagaan luaran seperti, syampu, gel mandian dan krim badan.
Jintan hitam berasal dari Arab itu digunakan secara topikal untuk mengekalkan kelembapan kulit, menguatkan rambut dan dan memberikan perlindungan luar pada tubuh.
Menyedari khasiat bahan semula jadi itu, jenama penjagaan rambut dan badan, Good Virtues Co. bekerjasama dengan Richiamo Coffee dan Watson Malaysia memperkenalkan minuman habbatus sauda.
Pengurus Kanan Jenama Good Virtues Co, Nur Wahidah Mohd. Rafi menyatakan, inisiatif terbaharu itu membolehkan masyarakat merasai kebaikan habbatus sauda secara dalaman dan melihat kesannya pada kesihatan.
Tambahan pula, ia telah digunakan dalam perubatan tradisional sejak ribuan tahun dahulu.
Justeru, katanya, kaedah meminum terus habbatus sauda diyakini akan mendatangkan hasil yang luar biasa kepada kesihatan badan.
“Ia kaya dengan bahan aktif semula jadi seperti thymoquinone, bagi membantu melindungi sel tubuh daripada kerosakan akibat radikal bebas.
“Di samping itu, ia membantu memperlahankan tanda-tanda penuaan, malah menjadikan kulit tampak lebih sihat dan berseri,” katanya selepas majlis pelancaran minuman itu baru-baru ini.
Habbatus sauda turut mengandungi pelbagai mineral penting seperti zat besi, kalsium, magnesium dan zink.
Mineral-mineral itu membantu menyokong sistem imun badan, menguatkan daya tahan terhadap jangkitan dan meningkatkan fungsi dalaman tubuh secara menyeluruh.
Atasi jerawat
Habbatus sauda juga membantu melegakan ketidakselesaan seperti masalah jerawat, kulit sensitif atau keradangan sendi, selain menyokong kesihatan sistem pencernaan dan membantu proses detoksifikasi dalaman.
“Apabila tubuh lebih ringan, sihat dan bebas daripada toksin, kesannya bukan sahaja dirasai dari segi tenaga dan keselesaan harian, malah turut menyerlahkan kecantikan luaran secara semula jadi,” ujarnya.
Malah, menurut Nur Wahidah, kajian yang dijalankan oleh Good Virtues Co. menunjukkan pengambilan habbatus sauda secara konsisten mampu menstabilkan paras gula dalam darah.
Secara tidak langsung, ia menyokong pengurusan berat badan yang lebih sihat dan membantu meningkatkan tahap tenaga serta kecergasan sepanjang hari.
“Ia turut mempunyai kesan menenangkan dan membantu mengurangkan tekanan, menjadikan setiap tegukan minuman ini satu detik pemulihan untuk tubuh dan minda,” katanya.
Minuman habbatus sauda ini boleh dinikmati dalam pilihan kopi atau bukan kopi seperti coklat dan matcha.
Nur Wahidah turut menyeru wanita menghargai kecantikan luar dan dalam yang lahir daripada keyakinan, kesihatan dan kebaikan diri.
“Penjagaan diri sebenarnya boleh dimulakan dengan langkah mudah dan menyegarkan.
“Dengan secawan habbatus sauda, tubuh akan mendapat manfaat dan menjadikan hari anda lebih sihat, bertenaga dan berseri,” ujarnya.










