LONDON: Sebuah keluarga jutawan yang difitnah meninggalkan sebuah restoran tanpa membayar bil akhirnya memenangi saman fitnah bernilai 75,000 pound (RM428,261) selepas enggan menarik balik tindakan undang-undang meskipun diminta berbuat demikian.
Peter dan Ann McGirr bersama anak-anak mereka, Peter Jr dan Carol menerima pampasan daripada pihak pengurusan pub Horse and Jockey yang menjadi lokasi makan malam mereka tahun lalu.
Keluarga itu dilaporkan memesan hidangan mewah termasuk stik ribeye 10 auns berharga 27 pound (RM154) seorang dan dua stik gammon Derbyshire berharga 15.25 pound (RM87) setiap satu disertai beberapa gelas minuman beralkohol
Tidak lama selepas mereka meninggalkan premis, pihak pub memuat naik rakaman CCTV ke Facebook dan menuduh keluarga McGirr meninggalkan restoran tanpa membayar bil bernilai 150 pound (RM856).
Tuduhan itu mendapat perhatian meluas dan keluarga berkenaan menjadi tumpuan media, didakwa melakukan perbuatan memalukan ‘makan dan lari’.
Namun siasatan mendapati tuduhan tersebut tidak berasas kerana keluarga McGirr sebenarnya sudah membayar sepenuhnya, tetapi kakitangan restoran yang tidak berpengalaman terlupa untuk merekodkan transaksi dalam sistem pembayaran.
Menurut pihak pengurusan pub, kesilapan itu berpunca daripada pekerja baharu yang menerima pembayaran kad tetapi gagal memasukkannya ke dalam sistem tunai.
Susulan dakwaan palsu itu, keluarga McGirr memfailkan saman fitnah terhadap pemilik pub atas tuduhan serius dan memfitnah.
Pub tersebut bersetuju menyelesaikan kes sebelum bukti dibentangkan di mahkamah, selain mengeluarkan permohonan maaf dan mengakui tekanan emosi yang ditanggung oleh keluarga itu.
Keluarga McGirr antara individu terkaya di daerah Tyrone, memiliki syarikat McGirr Engineering iaitu sebuah firma antarabangsa yang mengeluarkan mesin pembuat blok untuk industri pembinaan.
Menurut dokumen terkini yang difailkan di Companies House, nilai syarikat itu melebihi 2 juta pound (RM11.4 juta) dengan simpanan tunai sebanyak 1.3 juta pound (RM7.4 juta).
Susulan penyelesaian luar mahkamah tersebut, pemilik pub John Watson terpaksa membayar hampir 140,000 pound (RM799,421) merangkumi pampasan sebanyak 75,000 pound (RM428,261) dan 60,000 pound (RM342,609) kos guaman.




