Brazil tangguh penggunaan vaksin AstraZeneca terhadap wanita hamil - Utusan Malaysia

Brazil tangguh penggunaan vaksin AstraZeneca terhadap wanita hamil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RIO DE JANEIRO: Beberapa negeri di Brazil menangguhkan imunisasi vaksin AstraZeneca terhadap wanita hamil atas nasihat pengendali kesihatan selepas kematian dilaporkan.

Sao Paulo, Rio de Janeiro dan beberapa negeri di Brazil menangguhkan vaksin itu terhadap wanita hamil semalam.

Menteri Kesihatan, Marcelo Queiroga dalam satu sidang akhbar berkata, penangguhan itu dikekalkan sehingga pihaknya mengetahui punca kematian seorang wanita di Rio de Janeiro yang menerima suntikan vaksin tersebut.

Bagaimanapun, kementerian itu tidak mengesahkan laporan tersebut.

Queiroga berkata, gesaan itu dibuat oleh sepasukan pakar dan ia berdasarkan kriteria teknikal secara eksklusif.

“Tidak dapat dipastikan sama ada vaksin itu menyebabkan darah beku, kami masih lagi sedang menyiasat kes tersebut secara menyeluruh sebelum membuat sebarang keputusan,” kata seorang perunding bagi Program Vaksinasi Kebangsaan, Jorge Kalil dalam sidang akhbar tersebut.

Terdahulu, pengendali kesihatan Brazil, Anvisa mengesyorkan penangguhan serta merta imunisasi vaksin AstraZeneca bagi wanita hamil, seiring dengan pemantauan berterusan terhadap kejadian buruk penggunaan vaksin anti-Covid-19 di negara itu.

Pengendali Program Vaksinasi Kebangsaan, Franciele Francinato berkata, wanita hamil yang sudah menerima dos pertama vaksin AstraZeneca tidak harus mengambil suntikan kedua sehingga kementerian mengeluarkan garis panduan baharu.

Sekretariat Kesihatan Majlis Perbandaran Rio de Janeiro menerusi kenyataan memaklumkan pihak berkuasa memutuskan untuk menangguhkan penggunaan vaksin terhadap wanita hamil dan ibu baharu di ibu negara sehingga kementerian kesihatan selesai menyiasat kes wanita hamil itu.

Beberapa majlis perbandaran di negeri berkenaan juga mengambil pendekatan yang sama.

Dalam pada itu, AstraZeneca memaklumkan ibu mengandung dan yang menyusu bayi dikeluarkan daripada ujian klinikal vaksin dijalankannya.

Jelas kenyataan itu, langkah itu dilihat amalan biasa dalam ujian klinikal. – AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×