PRN Sabah permulaan ‘perang besar’ gabungan BN-PH

PRN Sabah permulaan ‘perang besar’ gabungan BN-PH

AHMAD Zahid Hamidi ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari UMNO ke-79 di WTC Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan menjadi permulaan ‘perang besar’ yang bakal dihadapi Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sebagai gabungan rasmi.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kedua-dua parti tidak akan bergerak secara solo sebaliknya sebagai satu entiti gabungan yang lebih besar dan terbuka.

“Kita tidak berniat untuk bergerak secara solo. BN dan PH bukan sekadar satu ‘plus’, tetapi ‘plus plus plus’. Ini memperlihatkan keterbukaan kita, yang penting, tiada parti politik dari Semenanjung atau Sabah boleh bergerak sendirian.

“Kita perlu gabungan antara parti Pusat dan negeri. Kerajaan yang akan dibentuk dalam PRN Ke-17 nanti perlu menang bersama agar pembangunan di Sabah dapat dilaksana dengan berkesan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-79 dan Konvokesyen Pertama Sekolah Patriotik UMNO Malaysia, di Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini semalam.

Sebelum ini, PH dan BN telah mencapai kata sepakat untuk bekerjasama bagi menghadapi PRN Sabah.

Menurut kenyataan bersama Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, perkara itu dicapai hasil mesyuarat kepemimpinan tertinggi antara Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam pada itu, mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, berhubung formula pembahagian kerusi di antara BN dan PH, Ahmad Zahid berkata, semua sayap parti dalam Kerajaan Perpaduan perlu menyerahkan perkara itu kepada pucuk pimpinan.

“Jangan ikut emosi atau buat analisis sendiri. Soal pembahagian kerusi biar ditentukan kepemimpinan tertinggi yang sering mengadakan rundingan. Saya fikir perkara ini terlalu pramatang. Tidak perlu dipolemikkan oleh mana-mana pihak termasuk Pemuda UMNO atau Pemuda Amanah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, BN dan PH telah mencapai kata sepakat untuk mengagihkan kerusi secara strategik bagi menghadapi PRN Sabah, sekali gus mengelakkan pertindihan calon dan memastikan pertandingan satu lawan satu dengan pihak lawan.

Menurut Suhaimi, ia adalah hasil perbincangan dan persefahaman yang dicapai di peringkat negeri sebelum dibawa ke pimpinan tertinggi kedua-dua gabungan.

Katanya, kerjasama strategik itu melibatkan beberapa aspek penting termasuk pengagihan kerusi bagi mengelakkan pertindihan calon dan memastikan pertandingan satu lawan satu dengan pihak lawan.

“Penyelarasan jentera pilihan raya juga akan dilaksanakan bagi memperkukuh kempen dan gerak kerja di peringkat akar umbi.

“Gabungan ini juga bersetuju untuk menggunakan logo parti masing-masing bagi mengekalkan identiti dan kekuatan setiap parti dalam kerjasama ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan PH dan BN mencapai kata sepakat untuk bekerjasama bagi menghadapi PRN Sabah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×