Rollo sasar tembusi pasaran Singapura, Brunei

Rollo sasar tembusi pasaran Singapura, Brunei

MOHD. Zamly Che Puteh mula membangunkan keju Rollo sejak Oktober 2023.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Produk keju buatan tempatan jenama, Rollo dalam proses mendapatkan pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sebagai langkah penting untuk memperluaskan pasaran ke luar negara menjelang akhir tahun ini.

Perusahaan Keju Bersaudara H&Z mula beroperasi secara rasmi pada Februari 2024, namun pembangunan keju Rollo bermula sejak Oktober 2023 lagi.

Menurut pemilik dan pengasasnya, Mohd. Zamly Che Puteh, proses permohonan rasmi dimulakan pada Julai 2024, melibatkan semakan bahan mentah, penyusunan dokumentasi serta lawatan audit awal oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Walaupun masih berstatus perusahaan mikro, Zamly berkata, matlamat mereka sejak awal adalah untuk menghasilkan keju halal yang mampu menembusi pasaran lebih luas termasuk Singapura dan Brunei.

“Kami mahu pastikan setiap bahan dan langkah pembuatan benar-benar patuh syariah serta menepati piawaian kebersihan makanan. Pensijilan halal Jakim menjadi penanda aras terbaik untuk menjamin keyakinan pengguna.

“Pensijilan halal bukan sekadar keperluan undang-undang, tapi strategi pasaran. Ia membuka akses ke pasar raya besar dan pengimport antarabangsa.

“Setakat ini, syarikat kami sedang melengkapkan penambahbaikan yang disyorkan selepas lawatan pegawai JAIS, sebelum audit penuh dilakukan oleh Jakim,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia

Mengulas mengenai cabaran ketika memohon sijil halal, Zamly berkata, cabaran utama yang dihadapi termasuk mencari sumber bahan mentah seperti kasein yang mempunyai sijil halal dalam kuantiti kecil, serta mengendalikan dokumentasi teknikal secara tepat mengikut piawaian Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP).

“Sebagai syarikat mikro, kami perlu belajar dengan cepat bermula dari sistem rekod hinggalah kos ujian makmal untuk setiap bahan. Mujur JAIS dan rakan industri banyak membantu,” katanya.

Zamly turut menegaskan bahawa logo halal bukan sekadar simbol, tetapi bukti bahawa produk itu bersih, selamat dan telus sekaligus meningkatkan kepercayaan pengguna beragama Islam dan bukan Islam.

Beliau turut menyifatkan proses halal ini sebagai pelaburan jangka panjang yang bakal melonjakkan pertumbuhan syarikat.

“Jika berjaya memperoleh sijil halal dalam masa terdekat, Rollo menyasarkan pertumbuhan jualan sehingga 40 peratus dalam tempoh setahun, selain memperluaskan operasi ke peringkat nasional dan luar negara.

“Kami juga sedang merancang kolaborasi perniagaan-ke-perniagaan (B2B) dengan pemain industri seperti hotel, bakeri dan kilang makanan yang memerlukan pembekal keju halal tempatan.

“Dengan sijil halal, kami yakin dapat menambah kapasiti pengeluaran sehingga dua tan sebulan dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam bahagian produksi serta logistik,” katanya.

Dalam pada itu, Zamly turut menggalakkan usahawan lain supaya merancang awal jika mahu memohon sijil halal khususnya dari aspek dokumentasi, pembekal bersijil halal dan latihan dalaman.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×