DALAM era ekonomi digital yang semakin pesat dan berasaskan teknologi, bakat serta kemahiran digital dilihat sebagai aset paling kritikal bagi kejayaan sesebuah organisasi.
Bagaimanapun, kebanyakan syarikat di Malaysia dilihat masih bergelut untuk mengikuti arus perubahan teknologi dan peningkatan jangkaan pelanggan berikutan tenaga kerja yang belum cukup bersedia menghadapi cabaran ini.
Apa yang pasti kemahiran yang relevan lima tahun lalu kini tidak lagi mencukupi untuk memenuhi keperluan semasa.
Tanpa keupayaan digital yang kukuh, perniagaan bukan sahaja sukar untuk berinovasi dan bersaing, malah tidak mampu beroperasi dengan cekap dalam landskap ekonomi digital hari ini.
Tekanan ini memaksa syarikat untuk melabur semula dalam latihan, pembangunan bakat dan transformasi digital bagi memastikan kelangsungan dan daya saing jangka panjang.
Lebih mengejutkan, lebih 40 peratus majikan di Malaysia menyatakan pekerja mereka tidak mempunyai kemahiran digital yang diperlukan dan laporan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) mendapati ramai majikan tidak tahu kemahiran apa yang mereka perlu bangunkan.
Sejauh manakah perkara ini berlaku? Apa tindakan seharusnya dilakukan oleh majikan bagi memastikan bakat sedia ada mengikuti perkembangan ekonomi digital?
Pengasas Bersama dan Pengarah Urusan OpenAcademy, Celine Ting berkata, dengan menyertai penyertaan kursus, penglibatan peserta dan pengekalan ilmu melalui kuiz serta tinjauan, OpenAcademy membantu syarikat memetakan jurang kemahiran, mengukur kemajuan pembelajaran dan menyesuaikan program latihan mengikut keperluan sebenar perniagaan.
“Kami akan memastikan proses peningkatan kemahiran menjadi lebih bijak, pantas dan memberi impak yang lebih besar tepat seperti yang diperlukan oleh tenaga kerja Malaysia untuk kekal kompetitif dan bersedia menghadapi masa depan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Jelas Celine, pada masa hadapan, setiap syarikat mesti melihat perancangan tenaga kerja sebagai fungsi strategik yang dinamik, dipacu data dan diselaraskan rapat dengan operasi semasa serta rancangan pertumbuhan masa depan.
Mengulas lanjut, Celine berkata, antara kesilapan terbesar adalah apabila syarikat menganggap peningkatan kemahiran sebagai satu acara sekali-sekala, sesuatu yang hanya untuk dipenuhi, bukannya satu proses berterusan.
“Banyak organisasi masih mengadakan latihan sekali atau dua kali setahun tanpa sebarang susulan yang bermakna dan tidak mengejutkan jika impaknya sangat minimum.
“Bagi mencapai hasil yang berkesan, peningkatan kemahiran perlu menjadi sebahagian daripada strategi jangka panjang dan budaya pembelajaran berterusan.
“Walaupun kemahiran asas itu penting, jika kandungannya tidak relevan dengan peranan pekerja atau tidak selari dengan keperluan sebenar perniagaan, ia tidak akan memberi kesan. Pekerja mungkin menamatkan latihan, tetapi tidak memperoleh kemahiran yang boleh digunakan serta-merta,” katanya.
Celine berkata, bagi menyesuaikan diri dengan persekitaran perniagaan yang pantas hari ini, syarikat perlu mengubah cara mereka mendekati pembelajaran dan pembangunan.
Katanya, latihan gaya bilik darjah yang tradisional sering terlalu panjang, kaku dan tidak relevan dengan cabaran sebenar harian pekerja.
“Pendekatan digital utama dan didorong oleh pelajar adalah penting. Microlearning (pelajaran pendek) dan fokus yang boleh diselesaikan dalam beberapa minit, sesuai dengan rutin kerja harian tanpa mengganggu produktiviti.
“Platform pembelajaran atas permintaan juga membolehkan pekerja belajar pada bila-bila masa dan di mana sahaja yang sesuai.
“Selain itu, pembelajaran rakan sebaya dan bimbingan menjadikan pengalaman itu lebih praktikal dan berdasarkan cabaran dunia sebenar,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Cybersecurity and Systems Unit Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai, Dr. Azuan Ahmad berkata, program upskilling dan reskilling yang dilaksanakan bukan sahaja kepada para graduan tetapi kepada tenaga pengajar juga patut diadakan.
“Upskilling perlu diberi keutamaan kepada bidang keperluan digital utama seperti kecerdasan buatan (AI), cybersecurity (keselamatan siber) dan blockchain dan tidak hanya menjurus kepada pelajar dan pengajar bidang komputer sahaja.
“Selain itu, pihak universiti perlu mengadakan jaringan bersama industri berpotensi dan pihak industri juga tidak terlalu selektif hanya kepada universiti terkemuka sahaja.
“Pendedahan pusat pengajian terhadap teknologi terkini dan perkara ini akan melibatkan kos kerana untuk memiliki teknologi bukan sesuatu yang murah, tetapi masalah ini dapat diatasi melalui program Program Kolaborasi Industri (ICP) yang telah lama dipraktikkan oleh kerajaan,” katanya.-UTUSAN










