PETALING JAYA: Pelakon, Bront Palarae, dinobat sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Baannang Klang Lakorn Awards ke-21 yang berlangsung hari ini.
Bront atau Nasrul Suhaimin Saifuddin, 47, memenangi kategori tersebut menerusi lakonannya sebagai Heem dalam filem seram, The Cursed Land.
“Serius, semua ini sangat gila. Alhamdulillah saya dapat mewakili semua kerja keras dan dedikasi semua yang terlibat dalam filem ini.
“Saya dedikasikan kemenangan ini kepada semua pasukan produksi filem The Cursed Land.
“Berbanyak terima kasih kepada P’ Panu Aree, P’ Kong Rithdee untuk kesempatan ini. Juga Nonzee Nimibutr, Chankit, dan Suraphi di atas kesabaran dan sokongan.
“Juga tak dilupakan rakan pelakon Ananda Mathew Everingham, Jennis, mendiang Mae Sida Puapimon, Han Zalini dan Firdaus Karim,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Bront turut berbangga kerana dapat menyumbangkan bakat yang dimiliki untuk membawa suara komuniti di selatan Thailand.
“Semoga di masa akan datang lebih banyak naskhah yang membawa suara serta sejarah penduduk di selatan Thailand di panggung,” tambahnya.
Untuk rekod, ini merupakan anugerah antarabangsa kedua yang diperoleh anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu selepas Best Leading Male Performance di Asian Television Awards ke-25.
Terdahulu, selain Pelakon Pembantu Terbaik, filem The Cursed Land turut tercalon dalam tiga kategori lain iaitu Best Picture, Best Actor, dan Best Supporting Actress.
Baannang Klang Lakorn Awards merupakan anugerah berprestij yang memberikan pengiktirafan kepada naskhah televisyen dan platform penstriman Thailand yang cemerlang sepanjang tahun 2024. -UTUSAN











