Cape Verde uji Harimau Malaya 

Cape Verde uji Harimau Malaya 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya berjaya mendapatkan lawan berkualiti bagi persiapan Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027 apabila dijadual menentang Cape Verde dalam perlawanan persahabatan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 29 Mei ini.

Cape Verde yang menghuni ranking ke-72 Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) tidak pernah layak ke Piala Dunia, namun negara berpendapatan rendah yang mempunyai populasi penduduk kira-kira 552,000 orang itu pernah empat kali menyertai Piala Negara-Negara Afrika.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan skuad bimbingan Peter Cklamovski akan menentang pasukan di ranking ke-72 dunia itu buat pertama kali dalam sejarah pertemuan kedua-dua pasukan.

Malaysia yang berada di ranking 131 dunia akan bertemu sekali lagi dengan lawan yang sama pada perlawanan berstatus latihan secara tertutup tanpa penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 3 Jun ini sebelum aksi bertemu Vietnam dalam saingan Kumpulan F Kelayakan Piala Asia 2027.

Kedua-dua pasukan sebelum ini membuka kempen Kelayakan Piala Asia 2027 dengan cemerlang apabila Malaysia menewaskan Nepal 2-0 manakala Vietnam membenam Laos 5-0.

Kelebihan jaringan menyaksikan Vietnam mendahului Malaysia dalam Kumpulan F meskipun masing-masing menghimpun tiga mata.

Aksi Kelayakan Piala Asia lebih sukar memandangkan hanya juara kumpulan akan mendapat slot ke pusingan akhir di Arab Saudi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×