Perceraian adalah satu keputusan besar yang memberi kesan kepada semua pihak, bukan sahaja suami isteri tetapi juga anak-anak.
Dalam masyarakat, ibu sering menjadi pihak yang paling banyak menerima kecaman dan dipersalahkan selepas berlaku perceraian.
Walaupun punca sebenar mungkin datang daripada suami atau faktor luaran, sering kali ibu dipandang serong dan dituduh tidak cukup berusaha untuk menyelamatkan perkahwinan.
Minggu ini saya kongsikan kisah Haiza (bukan nama sebenar), seorang ibu kepada tiga anak yang berdepan dengan stigma negatif masyarakat.
Sejak bercerai, Haiza dilabel sebagai isteri dan ibu yang tidak tahu bersabar, tidak pandai menjaga rumah tangga dan pentingkan diri sendiri.
Wanita lewat 40-an yang saya temui baru-baru ini berkata, dia tidak terlalu memikirkan pandangan masyarakat, tetapi berasa terkilan apabila anak sendiri mempersalahkannya selepas perceraian itu.
“Masyarakat boleh bercakap apa sahaja, tetapi amat menyedihkan apabila anak-anak sendiri menyalahkan saya atas perpisahan itu,” katanya memulakan perbualan lewat petang itu.
Bercerita lanjut, kata Haiza, dia dan bekas suami berpisah sejak tujuh tahun lalu.
Menurut wanita kelahiran Muar, Johor itu bukan dia tidak berusaha mempertahankan tetapi sudah tidak lagi sanggup hidup dalam rumah tangga yang penuh toksik.
Selama 15 tahun dia cuba mempertahankan perkahwinan pilihan keluarga itu.
“Tiada apa yang saya tidak lakukan untuk suami dan anak-anak. Ini termasuk berhenti kerja seperti diminta suami untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada rumah tangga,” ujarnya.
Namun katanya, tidak sedikitpun diri dihargai.
Kata Haiza, bekas suaminya, Razak (bukan nama sebenar) bukan lelaki jahat pada pandangan mata anak-anak dan orang luar.
Di hadapan keluarga, terutama anak-anak, ibu bapa dan adik beradik, bekas suami seorang yang bertanggungjawab dan penyayang.
Di pejabat, Razak dikenali sebagai ketua yang cukup tegas dan baik hati.
Dia juga disegani dalam komuniti tempat tinggal mereka.
Tetapi di rumah, perwatakan bekas suaminya itu sangat berbeza.
Haiza dilayan tidak seperti seorang isteri yang selayaknya dimanja dan dihargai.
Razak mengawal semuanya, daripada cara berpakaian, hingga ke mana isteri pergi dan berapa wang yang mahu dibelanjakan.
Paling membuatkan Haiza tidak tahan, setiap kali dia melakukan kesalahan walaupun kecil, bekas suami akan memaki hamun dengan kata-kata hinaan.
Situasi itu berlaku hanya ketika dia dan bekas suami bersama.
Bila anak-anak ada , bekas suami berubah menjadi bapa dan suami penyayang yang suka bergurau.
Menurut Haiza, sepanjang tempoh perkahwinan itu dia hanya berdiam diri dan menelan semuanya demi anak-anak.
Sehinggalah pada suatu hari, dia mendapat kekuatan untuk keluar daripada perkahwinan toksik itu.
Dia mulai sedar untuk apa mempertahankan dan terus berada dalam rumah tangga itu.
Haiza cuba mengumpulkan kekuatan dan akhirnya, pada 15 Januari 2018 dia membuat keputusan paling sukar dalam hidup iaitu memohon cerai.
Ia bukan keputusan yang mudah, apa lagi melibatkan anak-anak.
“Selama ini pun saya hanya bertahan demi anak-anak. Selepas mereka sedikit dewasa dan masing-masing tinggal di asrama, barulah saya benar-benar bersedia untuk dilepaskan.
“Saya pilih untuk bertahan bukan kerana lemah, tetapi kuat kerana anak-anak dan keluarga.
Dalam masa sama ketika itu saya sentiasa berdoa dan berharap agar suami berubah.
“Biarlah saya menanggung derita, asalkan anak-anak tetap ada seorang bapa,” ujarnya.
Namun nasib tidak berpihak kepadanya. Haiza menyangka anak-anak memahami dan menyokong tindakan itu, tetapi sebaliknya.
Bekas suami tidak puas hati dan tidak menerima tindakannya meminta cerai.
Sejak itu Razak mula menjaja cerita yang dialah mangsa.
Di depan anak-anak bekas suami memburuk-burukkannya,
Razak menuduh Haiza curang, pentingkan diri, mahu lari daripada tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.
Malah, sehingga ke hari ini dia mengambil pendekatan berdiam diri kerana enggan memburukkan keadaan.
Tindakan Haiza itu memberi peluang kepada bekas suami untuk menyebar cerita dan macam-macam tuduhan tidak berasas.
Haiza dituduh sengaja meninggalkan keluarga kerana lelaki lain.
Paling menyedihkan katanya, anak-anak yang diletakkan sementara di bawah penjagaan bekas suami mempercayai cerita tersebut bulat-bulat.
Anak sulungnya, Amir (bukan nama sebenar) yang ketika itu berusia 17 tahun semakin menjauhkan diri.
Begitu juga Maisarah, 15, dan Mustakim, 13 (bukan nama sebenar) yang ketika itu tinggal di asrama sering menolak bila dia datang bertemu mereka.
Kisah Haiza ini sebahagian daripada realiti kehidupan yang dihadapi ramai ibu tunggal.
Sehingga ke hari ini dia bukan sahaja harus berjuang membina semula kehidupan, tetapi juga terpaksa menanggung rasa sedih terus dipersalahkan oleh insan yang cukup disayangi.
“Saya tidak mengharapkan balasan, cukuplah anak- anak menghargai dan memahami kenapa saya memilih untuk berpisah.
“Bayangkan perasaan saya, apabila anak-anak yang dibesarkan dengan kasih sayang dan perhatian, tiba- tiba menuding jari ke arah saya.
“Mempersalahkan saya atas keputusan yang dibuat,” ujarnya.
Walaupun sudah tujuh tahun perceraian itu berlaku, luka mungkin sembuh tetapi parutnya masih ada.
Dalam tempoh itu, dia tidak pernah berhenti berdoa yang terbaik untuk anak-anak dan berharap mereka faham alasannya memilih untuk berpisah.
Bukan kerana mahu lari daripada tanggungjawab, tetapi itulah satu-satunya jalan untuk menjaga maruah, kestabilan emosi dan mentalnya.
Sesungguhnya dalam Islam, ibu memiliki kedudukan yang sangat tinggi.
Bahkan dalam al-Quran setiap ayat menyebut dan mengingatkan kita tentang pentingnya menghormati serta berbakti kepada mereka.
Sebagaimana firman Allah SWT, “Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah berbuat baik kepada ibu dan bapa,” (Al-Isra:23).










