Tentera Zionis maut, cedera parah bertempur dengan Hamas - Utusan Malaysia

Tentera Zionis maut, cedera parah bertempur dengan Hamas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAHERAH: Kumpulan pejuang Hamas bertempur dengan tentera Israel di lokasi berhampiran Rafah di selatan Semenanjung Gaza, semalam, menyaksikan banyak anggota tentera Zionis cedera parah dan terbunuh.

Laporan Reuters memetik kenyataan yang dikongsi menerusi Telegram itu menunjukkan Hamas masih aktif di kawasan berkenaan walaupun tentera Israel memperluaskan kawalannya.

Hamas berkata, anggota pejuangnya menyerang hendap sepasukan 12 anggota tentera Israel dalam sebuah rumah di kawasan kejiranan Tanur, timur Rafah, dan berjaya membunuh serta mencederakan beberapa anggota berkenaan.

Tentera Israel dalam satu kenyataan, hari ini, mengesahkan dua tenteranya terbunuh dalam pertempuran di selatan Semenanjung Gaza dengan empat anggota cedera.

Rejim Zionis kembali melancarkan serangan pada Mac lalu selepas berakhirnya gencatan senjata yang rapuh dan hanya mampu bertahan selama enam minggu.

Di Gaza City, AFP melaporkan pasukan barisan tindak balas pertama di Gaza memaklumkan operasi mereka hampir lumpuh selepas berdepan sekatan penuh oleh Israel sejak lebih dua bulan lalu yang menyebabkan krisis kekurangan bekalan makanan dan bahan api berada pada tahap kritikal.

Israel menafikan wujud krisis kemanusiaan di Semenanjung Gaza, dan merancang untuk memperluaskan operasi ketenteraan bagi memaksa Hamas membebaskan tebusan.

“Sebanyak 75 peratus daripada kenderaan kami sudah tidak lagi beroperasi akibat masalah kekurangan bahan api diesel,” kata jurucakap agensi pertahanan awam, Mahmud Bassal, kepada AFP.

Katanya, pasukannya yang memainkan peranan sangat penting sebagai barisan tindak balas pertama di Gaza, turut mengalami kekurangan amat teruk janakuasa elektrik dan peranti oksigen.

Selama berminggu-minggu, pelbagai agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan kemanusiaan lain telah memberi amaran mengenai krisis segala bekalan keperluan – dari bahan api dan ubat-ubatan hinggalah kepada makanan dan air bersih – di wilayah yang menempatkan 2.4 juta rakyat Palestin itu.

Meskipun bergelut dengan kesengsaraan, rakyat Palestin tetap tampil untuk menderma darah di hospital medan di bandar Khan Younis, selatan Gaza, semalam, lapor seorang wartawan AFP.

“Dalam keadaan amat sukar ini, kami datang untuk membantu mereka yang sakit dan mengalami kecederaan, dengan menderma darah walaupun kami teramat kekurangan makanan dan protein,” kata Moamen al-Eid yang sedang beratur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×