PETALING JAYA: Penyanyi, Mas Idayu, tidak menjelaskan secara terperinci punca perceraiannya dengan Penerbit Eksekutif TV3, Muhammad Sufian Che Isa, namun memberi bayangan dirinya layak memohon perpisahan.
Mas Idayu juga menafikan rumah tangga yang berakhir pada 4 Mac lalu adalah disebabkan campur tangan orang ketiga.
“Saya tak sorok perceraian ini. Saya pergi menuntut fasakh ditemani wali dan kakak. Kami tak bergaduh langsung, malah boleh ketawa ketika pergi ke mahkamah untuk bercerai.
“Mungkin Allah bantu tutup aib kami. Apa yang boleh saya katakan, memang saya sangat layak memohon perceraian ini.
“Seorang isteri kalau minta cerai tanpa sebab, cium bau syurga pun tak dapat. Tak perlu nak tuding kesalahan atau nak tuduh siapa salah dan betul.
“Apa yang penting, saya menuntut cerai dan dia pernah jadi suami saya,” katanya menerusi satu temu bual dengan program Melodi, baru-baru ini.
Dalam pada itu, juri program Famili Duo itu turut berharap agar warga maya berhenti menyebarkan spekulasi tidak benar mengenai perpisahan mereka.
“Kami tak bergaduh langsung, cuma saya nak tahu kenapa dengan netizen? Saya tidak ada masalah dengan netizen, tetapi kenapa buat andaian seperti ini? Macam mana nak minta maaf, sedangkan saya tak bersalah?
“Saya hanya garang ketika jadi juri dan ketika bekerja. Dengan suami, saya tak garang. Tapi, ada lagi tuntutan hati yang belum Allah kabulkan. Alhamdulillah saya bahagia dan harap sebelah sana pun ‘happy’,” katanya.
Sudah melalui dua kali badai rumah tangga, penyanyi dangdut itu berpegang kepada hukum agama Allah sahaja yang boleh menyelamatkan sebuah perkahwinan.
“Orang matang kena bersabar. Suka, kita berkahwin, bila tak boleh berpisah sahaja.
“Saya dan anak gembira meraikan Syawal. Saya seorang yang ‘loving’, janganlah cuba nak pancing sampai terbuka aib. Saya cakap terus-terang, bekas suami lepaskan secara baik, itupun saya membuatkan saya bersyukur.
“Saya sudah lalui dua kali kegagalan dalam perkahwinan. Saya tidak ada sebarang nasihat. Cuma, kalau nak berkahwin hukum hakam agama kena tahu barulah rumah tangga akan selamat,” ulasnya.
Terdahulu, Muhammad Sufian Che Isa mengesahkan dia dan Mas Idayu sudah bercerai namun memberi jaminan hubungan sebagai sahabat masih berkekalan.
Muhammad Sufian dan Mas Idayu mendirikan rumah tangga pada September 2022. Ini juga perkahwinan kali kedua mereka berdua. – UTUSAN











