KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan kes kehilangan isteri ahli perniagaan, Datin Seri Pamela Ling Yueh adalah penculikan yang dirancang sendiri.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, siasatan awal mendapati penculikan terbabit dilihat sangat lancar tanpa sebarang pergelutan berlaku terhadap wanita tersebut.
“Itu memang proses siasatan kami, kita akan buat siasatan secara menyeluruh dari setiap sudut. Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kejadian berlaku lancar, tidak bergelut.
“Jadi kemungkinan itu (dirancang sendiri) antara disiasat (elemen) pihak polis,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Kontinjen Kuala Lumpur di sini semalam.
Pamela dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan untuk memberikan keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes rasuah sekitar pukul 1.30 tengah hari hingga 2.10 petang pada 9 April lalu.
Rusdi berkata, siasatan awal pihaknya mendapati lebih lapan individu menaiki lima kereta berasingan dipercayai terlibat kes itu dengan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan mereka dikesan menghalang kenderaan e-hailing dinaiki Pamela.
Katanya, semua kenderaan itu dilihat meninggalkan Putrajaya sejurus selepas melarikan mangsa melalui dua laluan berbeza.
“Siasatan kami mendapati kenderaan-kenderaan klon menggunakan nombor plat berdaftar. Kita telah mengesan dan memanggil pemilik asal kenderaan tersebut untuk dirakam keterangan.
“Mereka memaklumkan bahawa kenderaan terbabit ketika hari kejadian ada bersama mereka (pemilik asal) di Kelantan, Selangor dan Pahang, ” katanya.
Ditanya mengenai sama ada individu yang didakwa melarikan polis adalah anggota polis, Rusdi berkata, pihaknya sedang menjalankan pemeriksaan sepenuhnya berkaitan dakwaan terbabit.
“Pakai vest memang biasanya digunakan oleh PDRM dalam operasi tertentu. Kita tidak akan menggunakan vest ini kalau nak sembunyikan identiti kerana akan terganggu operasi.
“Tetapi dalam kes ini mereka pakai vest dan boleh dipakai oleh orang lain (orang awam). Kalau pergi ke mana-mana tempat boleh dibeli. Jadi berhubung ini (dakwaan) kita akan buat pemeriksaan sepenuhnya,” katanya.-UTUSAN










