PETALING JAYA: “Kita kena banyak bersabar biarpun adakalanya air mata mengalir sebab terlalu rindukan anak dan cucu-cucu,” kata Mohd. Daud Kalakhan.
Kesayuan semakin mencengkam hati Mohd. Daud, 75, apabila memikirkan Aidilfitri tahun ini hanya tinggal berdua bersama anak bongsu di Papar, Sabah.
Tiga anak perempuannya yang bertugas di Semenanjung dan Labuan tidak dapat pulang beraya di Papar, berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Sepatutnya tahun lepas lagi anak-anak berkumpul di Papar tapi tiba-tiba PKP dilaksanakan. Tahun ini anak-anak turut merancang beraya di sini, tapi apa boleh buat kita kena patuh dengan arahan ditetapkan kerajaan.” katanya.
Aidilfitri tahun ini kembali disambut penuh suram dan kesayuan selepas kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP seluruh negara, antaranya larangan rentas daerah dan negeri selain tiada amalan ziarah-menziarahi pada Syawal.
Bagi Fatimah Abdul Majid, 74, yang menetap di Kuantan, lebih setahun dia tidak bertemu anak-anaknya.
“Ibu bapa mana yang dapat menahan pilu dan sedih apabila anak-anak yang sangat dirindui tidak dapat pulang beraya untuk kali kedua.
“Sedih macam mana pun, tiada apa yang dapat dilakukan selain berdoa Covid-19 dapat dihapuskan segera dan kami dapat bertemu semula,” katanya ketika ditemui di Rumah Murah di Jalan Gambang, Kuantan.
Warga emas yang juga ibu tunggal itu berkata, tentunya dia begitu merindui anak-anaknya yang menetap di Kuala Lumpur dan Selangor kerana sudah lama tidak bertemu mereka.
Namun semuanya perlu akur dengan PKP yang dilaksanakan dua hari sebelum 1 Syawal bagi mengelak krisis kesihatan yang lebih dahsyat.
Kebimbangan menangani penularan Covid-19 disuarakan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba kepada Utusan Malaysia yang menegaskan, PKP perlu dilaksanakan dua hari sebelum 1 Syawal bagi mengelak krisis kesihatan lebih dahsyat.
Beliau berkata, berdasarkan nilai R1.2, jumlah kes aktif boleh mencecah 87,000 kes pada satu-satu masa pada akhir Jun ini.
“Selangor, Kuala Lumpur, Sarawak, Kelantan, Melaka, Pulau Pinang dan Kedah telah merekodkan penggunaan katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) melebihi 70 peratus. Ada hospital yang mencatatkan kadar penggunaan katil ICU Covid-19 melebihi 100 peratus,” katanya.
Di Kuala Terengganu, Terengganu, Wan Omar Wan Ahmad, 82, tidak pernah menyangka terpaksa meraikan Aidilfitri berdua bersama isterinya, Zainab Mamat, 73, tanpa kehadiran sembilan anak di samping 34 cucu serta tiga cicit.
Penularan pandemik Covid-19 sejak tahun lalu sememangnya meragut kegembiraan pasangan warga emas berkenaan kerana tiada lagi tradisi tahunan berkumpul beramai-ramai yang menjadi amalan keluarga mereka selama ini.
Wan Omar berkata, kesemua anaknya menetap di luar Terengganu dengan sebahagian besarnya di daerah Maran, Muadzam Shah dan Bera di Pahang selain Kuala Lumpur.
“Sedih memang sedih kerana pada usia begini tiada yang lebih menggembirakan kami selain meraikan Aidilfitri bersama anak-anak, cucu dan cicit. Tetapi sebagai rakyat, kami akur dengan keputusan kerajaan dan hanya boleh melepaskan rindu melalui panggilan telefon,” katanya.
Di Kubang Pasu, Kedah pula, Saidon Abdul Rahman, 67, dan isterinya, Faridah Din, 67, mengakui sedih apabila tidak menatap wajah lima anak dan 11 cucu pada hari lebaran.
Menurut Saidon, dua anaknya merupakan pasangan kembar, Nurul Najha, 42, dan Nurul Najwa, 42, tinggal di Beseri, Arau, Perlis serta Mohd. Ashraf, 32, dan Ahmad Ahza, 27, menetap di Sungai Buloh, Selangor manakala Nur Atikah, 31, pula di Cheras, Kuala Lumpur.
“Pada tahun ini, bagi melepas rindu kepada mereka yang berjauhan itu, saya menempah sebanyak 300 cucuk sate dan diagihkan kepada jiran-jiran dan kenalan pada pagi hari raya,” katanya.
Di Kota Tinggi, Johor, seorang ibu tunggal hanya mampu termenung apabila ketujuh-tujuh anak dan menantu serta 26 cucunya tidak dapat pulang ke kampung pada Aidilfitri kali ini.
Malah, ini juga kali pertama dalam hidup Rosnani Ariffin, 67, terpaksa beraya keseorangan setelah tiga anaknya yang tinggal di Johor Bahru juga tidak dapat pulang ekoran larangan rentas daerah.
Empat lagi anaknya pula tinggal di Kuala Lumpur dan turut tidak dapat balik menyambut 1 Syawal tahun ini. – UTUSAN










