BANGI: Universiti Tenaga Nasional (Uniten) memeterai kerjasama strategik bersama Geomapping Technology Sdn. Bhd. (GMT) bagi menubuhkan Makmal Geoteknologi yang bakal beroperasi di National Energy Centre di sini.
Perkongsian itu dilaksanakan melalui Institut Infrastruktur Tenaga (IEI) dan Uniten R&D Sdn. Bhd. (URND), dan dijangka memperkukuh keupayaan penyelidikan serta khidmat profesional UNITEN kepada sektor industri.
Naib Canselor UNITEN, Prof. Dr. Khairul Salleh Mohamed Sahari berkata, penubuhan makmal tersebut berupaya meluaskan skop penyelidikan selain menawarkan khidmat perundingan dan analisis makmal yang kompetitif.
Katanya, ia selari dengan aspirasi universiti untuk memenuhi petunjuk prestasi utama (KPI) sebagai Pusat Kecemerlangan Pendidikan Tinggi (HICoE) – Teras Perkhidmatan, seperti yang dianugerahkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi pada Disember lalu.
“Kami menerima geran sebanyak RM5 juta bagi tempoh tiga tahun pertama dan bagi tahun pertama sahaja, kami telah melepasi KPI yang ditetapkan.
“Kami yakin makmal ini akan pulang modal dan mampu beroperasi secara kendiri selepas tahun kedua,” katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian perjanjian semalam.
Tambah beliau, ketika ini 70 peratus pendapatan Uniten diperoleh daripada yuran pengajian, manakala baki 30 peratus datang daripada aktiviti penyelidikan, pembangunan serta sumbangan endowmen.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, kerjasama antara institusi pendidikan tinggi dan industri seperti ini wajar diperkasakan kerana ia menyumbang secara langsung kepada pembangunan teknologi tempatan.
“Penyertaan rakan industri seperti GMT bukan sahaja membawa kepakaran teknikal dan pengalaman di lapangan, malah berupaya membuka akses pasaran yang lebih luas kepada hasil penyelidikan yang berpotensi untuk dikomersialkan,” katanya.-UTUSAN










