PUTRAJAYA: Selepas tujuh tahun dan seramai 26 orang saksi pembelaan memberikan keterangan, kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini ditutup.
Peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan perkara itu selepas menyoal balas saksi ke-26 mereka iaitu pemeriksa forensik dokumen, Tay Eue Kam.
“Kami (pembelaan) secara rasminya menutup kes ini, kes pembelaan. Untuk makluman Yang Arif, kes ini mula dituduh di mahkamah pada 20 September 2018 dan perbicaraan bermula pada 28 Ogos 2019.
“Yang Arif telah memanggil (untuk tertuduh) membela diri pada 30 Oktober 2024 dan hari pertama bela diri adalah pada 2 Disember 2024. Hari ini, 6 Mei 2025, adalah hari terakhir (perbicaraan). Secara keseluruhan, perbicaraan peringkat belada diri mengambil masa 58 hari,” kata peguam itu.
Pihak pendakwaan mengambil masa selama 235 hari manakala pembelaan mengambil masa selama 58 hari. Secara keseluruhan, perbicaraan kes 1MDB mengambil masa 293 hari.
Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah kemudian menetapkan hujahan lisan selama sembilan hari bermula 21 Oktober ini.
Najib selaku saksi pembelaan pertama memberikan keterangan daripada kandang saksi mengambil masa selama 12 hari untuk membaca pernyataan saksi setebal 678 muka surat. Secara keseluruhan Najib berada di kandang saksi selama 26 hari termasuk sesi soal balas dan pemeriksaan semula.
Lain-lain saksi yang dipanggil memberi keterangan ialah bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng Chong Hwa, bekas pegawai penyiasat asal kes 1MDB, Penolong Kanan Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) di Bahagian Pengubahan Wang Haram (AMLA), Mohd. Nasharudin Amir dan pegawai perakam, (Datuk) Mohd. Hafaz Nazar (kini Pengarah Kanan Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA).
Turut dipanggil memberi keterangan sebagai saksi pembelaan ialah bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.
Pada peringkat awal perbicaraan, pihak pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram. Beliau bagaimanapun meninggal dunia di usia 79 tahun pada 29 Januari 2023.
Pendakwaan kemudian diambil alih oleh Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Perundangan Dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Ahmad Akram Gharib dan Timbalan Pendakwa Raya, Kamal Baharin Omar.
Secara kebetulan, Ahmad Akram pada hari ini menerima pingat Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk sempena memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-65 Sultan Pahang di Temerloh, Pahang.
Perbicaraan kes itu, bermula pada 28 Ogos 2019 dengan saksi pertama pendakwaan Datuk Dr. Farizah Ahmad yang juga Setiausaha Bahagian Kanan Bahagian Kabinet dan Perlembagaan Jabatan Perdana Menteri.
Saksi terakhir pendakwaan ialah bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo Ai Swan.
Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 20 September 2018 sebelum kes dibenarkan untuk dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini pada 31 Oktober 2018.
Najib berdepan empat tuduhan menggunakan kedudukannya mendapatkan suapan berjumlah RM2.28 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah sama.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan perbuatan itu antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.
Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN










