KUALA LUMPUR: Kerajaan mengatur enam strategi untuk memastikan kestabilan ekonomi dan mempertahankan kepentingan negara jangka masa pendek serta sederhana bagi mendepani impak tarif timbal balik oleh Amerika Syarikat (AS).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, strategi pertama, kerajaan akan memantau petunjuk utama ekonomi seperti tempahan pembuatan, eksport, jualan runcit, pemberhentian pekerja dan pertumbuhan pinjaman melalui Pusat Tindakan Geoekonomi Negara (NGCC).
Kedua, katanya, rundingan diteruskan dengan menambah baik hubungan perdagangan dan pelaburan termasuk pembelian atau pengimportan strategik daripada AS, proses perdagangan dan pelaburan akan dimudah cara serta merangka dasar mesra pelaburan.
Di bawah strategi ketiga, kerajaan bersetuju meningkatkan Jaminan Kerajaan sebanyak RM1 bilion di bawah Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) untuk membantu pengeksport PKS yang terjejas mendapatkan pinjaman daripada bank komersial.
“Kerajaan turut menambah Dana Pembiayaan Mudah sebanyak RM500 juta melalui Institusi Pembangunan Kewangan (DFI) dan memantau perkembangan semasa dan bersedia menyediakan bantuan bersasar kepada PKS yang secara langsung terjejas,” katanya dalam Sidang Khas Parlimen mengenai tarif timbal balik AS, semalam.
Beliau berkata, dalam strategi keempat, Malaysia akan mempelbagai pasaran perdagangan ke pasaran baharu di Eropah, Asia Barat, Asia Tengah dan Amerika Selatan serta memperkukuh perdagangan serantau.
Selain itu, pengukuhan integrasi ASEAN melalui projek Grid Kuasa ASEAN dan merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan sempadan negara membabitkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ); projek pembinaan jambatan persahabatan kedua Rantau Panjang dan Sungai Golok di Narathiwat, Thailand dan jajaran jalan baharu Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), Sadao, Thailand.
“Ini termasuk pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) iaitu Pembangunan Perlis Inland Port; Pembangunan Chuping Valley Industrial Area dan pembangunan kemudahan dan prasarana pelancongan di Wang Kelian serta Bukit Kayu Hitam.
“Selain itu, kerajaan menyediakan peruntukan RM1 bilion untuk menaik taraf prasarana di sempadan antara Sarawak dan Sabah dengan Kalimantan, Indonesia. Usaha dimantapkan kerjasama kewangan termasuk menambah baik bantuan kecairan serantau Chiang Mai, Thailand serta usaha membolehkan penyelesaian perdagangan dalam mata wang tempatan menunjukkan kemajuan menggalakkan dengan Indonesia dan Thailand,” katanya.
Perdana Menteri berkata, dalam mempelbagaikan pasaran baharu, kerajaan terus membuka rundingan bagi perjanjian perdagangan dan pelaburan baharu seperti Kesatuan Eropah (EU), Perjanjian Perdagangan Bebas Eropah (EFTA) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
Pada masa sama, menyambung semula rundingan FTA dengan Korea Selatan dan EU serta mempergiat usaha mengukuhkan hubungan di peringkat ASEAN dengan GCC yang mengutamakan pemerkasaan dan pembaharuan dalam bidang kewangan Islam dan perdagangan barangan halal.
“Bagi menyegerakan usaha penerokaan pasaran baharu, kerajaan akan menyediakan peruntukan tambahan RM50 juta kepada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).
“Kerajaan turut menggalakkan usaha menarik perniagaan dan modal insan global ke Malaysia khususnya dalam bidang keutamaan negara seperti teknologi Kecerdasan Buatan (AI), termasuk ahli akademik daripada universiti terkemuka,” katanya.
Strategi kelima, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan mempercepat pelaksanaan projek pembangunan dan kelulusan kerajaan termasuk untuk pelaburan terutamanya projek tebatan banjir, pembaikan sekolah daif dan pembinaan klinik dengan melibatkan kontraktor kecil di kategori G1-G4.
Katanya, kerajaan bersetuju meningkatkan had sebut harga daripada RM1 juta kepada RM3 juta dan had cabut undi daripada RM100,000 kepada RM200,000 untuk mempercepat kerja selenggara serta pembaikan.
Terakhir, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan meneruskan agenda pembaharuan Ekonomi Madani dengan memacu Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.
Katanya, melalui program Gear-UP, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) telah memberi komitmen membuat pelaburan langsung domestik RM120 bilion dalam tempoh lima tahun dengan RM25 bilion untuk tahun ini. Setakat
April 2025, RM8.5 bilion telah diperuntukkan termasuk pelaburan modal teroka dalam projek semikonduktor.
“Dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), kerajaan meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu (TBB) terutama tenaga solar, menganugerahkan 2000MW di bawah Ladang Solar Skala Besar 5 (LSS5) dengan pelaburan RM6 bilion, kuota tambahan 2000MW di bawah LSS5+ yang akan dimuktamadkan serta memperluas penggunaan panel solar di bangunan kerajaan,” katanya. – UTUSAN










