KETIKA pelaksanaan sistem parkir pintar di negeri ini masih berada dalam tempoh percubaan, namun di media sosial ‘bergegar’ dengan ramai yang tidak bersetuju dan pelbagai rungutan khususnya berkaitan kaedah bayaran dan pemilihan sesetengah lokasi pelaksanaan.
Sebelum melaksanakan sistem berkenaan yang sebenarnya sudah lama diguna pakai di negeri-negeri lain, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) sudah mengkaji baik buruk pelaksanaan itu. Malah, tempoh percubaan yang dilaksanakan itu juga membolehkan beberapa penambahbaikan dilaksanakan khususnya berkaitan aspek pembayaran demi kemudahan semua pihak.
Perlis menuju ke arah bandar pintar dan pelaksanaan parkir pintar merupakan kriteria penting yang perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum merealisasikan hasrat tersebut.
Sistem parkir pintar itu merupakan sebahagian daripada inisiatif MPK ke arah kemajuan di negeri ini dan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu juga memberi jaminan bahawa pelaksanaan tersebut tidak akan mengundang kesesakan.
Malah, Snatch-P yang merupakan penyedia sistem pengurusan parkir pintar tersebut juga sudah pengalaman dalam bidang itu lebih 20 tahun.
Antara kelebihan pelaksanaan sistem parkir pintar tersebut, ia tidak akan menyebabkan kenaikan caj parkir sebaliknya lebih menjimatkan. Keistimewaan lain adalah bagi 15 minit pertama adalah percuma selain caj parkir pula hanya serendah RM0.60 sen sejam, paling murah di negara ini.
Pembaharuan demi kemajuan negeri ini dan kemudahan rakyat perlu disambut baik khususnya dalam merealisasikan Perlis berkonsepkan bandar pintar, mampan, sejahtera dan selamat.
Kalau tidak, kita akan terus kekal di takuk lama ketika negeri-negeri lain sudah jauh ke depan. Tidak salah untuk memberi pandangan dan mungkin sesetengah pandangan itu boleh digunakan pakai untuk penambahbaikan sistem berkenaan. Selain itu, kita cuba dahulu sistem berkenaan. Bila sistem ini berjalan lancar, pengguna akan berasa selesa dan yakin. Yang mana kekurangan perlu ditambah baik.
Perlu diingat, MPK terpaksa menanggung kerugian mencecah RM2.4 juta hanya dalam tempoh tiga tahun melalui kaedah parkir berkupon yang diguna pakai sebelum ini. Kaedah berkenaan sudah tidak efisien.
Sebaliknya, melalui pelaksanaan sistem parkir pintar itu, ia mampu membawa pulangan hasil kepada negeri sebanyak RM1 juta setahun.
Hasil negeri ini akan berbalik pada rakyat juga. Melalui hasil berkenaan, ia turut boleh digunakan untuk menambah baik kemudahan awam termasuk jalan raya, parkir bertingkat, penambahan pencahayaan jalan dan penyelenggaraan aset untuk negeri ini.
Kerajaan negeri sudah menyatakan pendirian akan meneruskan pelaksanaan sistem parkir pintar berkenaan dengan secara keseluruhan di Perlis melibatkan 8,500 lot parkir. Pada peringkat permulaan ini, hanya melibatkan 6,000 lot parkir terlebih dahulu.
Nasihat Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli agar rakyat negeri ini menerima pembaharuan ini selain bersabar dan memberi peluang kepada sistem baharu itu berkembang serta difahami.
Kata Mohd. Shukri, negeri-negeri lain telah lama menggunakan sistem parkir pintar dan rakyat di sana tidak berdepan masalah besar.
“Saya nasihatkan rakyat agar menerima pembaharuan ini. Jangan cepat menolak hanya kerana kita tidak biasa. Kita mahu jadi negeri pintar, maka ini adalah langkah ke arah itu. Kalau rakyat Perlis keluar ke negeri lain pun tetap perlu bayar parkir. Jadi mengapa tidak kita gunakan sistem sama di negeri kita sendiri yang jauh lebih murah dan berhemah,” katanya.
Dalam titah Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sempena perasmian penggal persidangan ketiga sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis ke-15 baru-baru ini, baginda juga menzahirkan harapan cukup besar agar Perlis melangkah ke hadapan dalam mencapai status bandar pintar selaras dengan usaha menjadikan negeri ini lebih sejahtera, mampan dan berdaya huni.
Titah baginda, MPK juga telah menerima pengiktirafan sebagai antara perintis bandar pintar di Malaysia, sekali gus meletakkan negeri Perlis di landasan strategik ke arah transformasi digital dan pembangunan bersepadu.
Baginda bertitah, selaras dengan hasrat untuk menjadikan Perlis sebagai sebuah negeri sejahtera, berdaya huni, mampan dan pintar, MPK juga telah menjadi antara 18 PBT yang menerima penarafan Bandar Pintar Malaysia tahap satu iaitu Smart City Early Adopter pada 28 Oktober lalu.
Tuanku Syed Sirajuddin turut memaklumkan bahawa pengiktirafan tersebut merupakan titik tolak kepada perancangan menyeluruh mencapai keempat-empat tahap bandar pintar.
“Penarafan ini adalah permulaan negeri Perlis sebelum mencapai keseluruhan empat tahap lengkap bandar pintar iaitu tahap pertama adalah Smart City Early Adopter, tahap kedua adalah Developing Smart City, tahap ketiga adalah Leading Smart City dan tahap keempat adalah Visionary Smart City.
“Keempat-empat tahap ini adalah selaras dengan indikator yang telah ditetapkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan untuk itu, MPK perlu bekerjasama dengan pelbagai pihak.
“Ia sebagai tindakan penyediaan Pelan Bandar Pintar Negeri Perlis, pembangunan Perlis Integrated Command Center (PICC), pengukuhan jawatankuasa dan penubuhan Unit Bandar Pintar di MPK bagi memastikan Bandar Pintar dapat dicapai dalam tempoh 10 tahun akan datang,” titah baginda. – UTUSAN
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia Perlis.










