Kad Pekerja Madani perlu diberi kepada 16 juta pekerja

Kad Pekerja Madani perlu diberi kepada 16 juta pekerja

Kesatuan sekerja mahu Kad Pekerja Madani diberikan kepada semua golongan pekerja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kad Pekerja Madani perlu diberikan kepada 16 juta pekerja di negara ini, bukan hanya untuk satu juta pekerja terdiri daripada ahli kesatuan.

Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE), J Solomon berkata, walaupun langkah pemberian kad tersebut baik, jumlah penerima yang hanya mewakili enam peratus pekerja di negara ini tidak selaras matlamat membantu golongan berkenaan

Katanya, jumlah penerima kad tersebut diberikan kepada satu juta pekerja juga disifatkan tiada asas dan lebih banyak menimbulkan persoalan.

“Inisiatif Kad Pekerja Madani yang menawarkan diskaun sehingga 30 peratus kepada sejuta ahli kesatuan adalah satu langkah yang kelihatan murni jika benar-benar bertujuan meringankan beban kewangan pekerja. Namun begitu, mengapa hanya untuk ahli kesatuan seramai sejuta pekerja?

“Jika matlamat kerajaan adalah untuk menggalakkan penyertaan dalam kesatuan sekerja, maka langkah pertama yang wajib dilakukan ialah mengarahkan Kementerian Sumber Manusia untuk secara aktif memudahkan kesatuan merekrut pekerja menjadi ahli kesatuan di sektor yang belum mempunyai kesatuan.

Malangnya, perkara ini masih gagal dilaksanakan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan inisiatif kad tersebut sempena sambutan Hari Pekerja, yang mampu memberi akses diskaun 30 peratus kepada 100 syarikat yang menawarkan barangan keperluan dan perkhidmatan di seluruh negara.

Menurut Solomon, sebelum pelaksanaan skim Kad Pekerja Madani, kerajaan perlu memastikan syarikat yang terlibat bersikap mesra kesatuan dan mematuhi piawaian buruh antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Katanya, lebih membimbangkan sekiranya ahli kesatuan perlu menyerahkan data peribadi kepada kementerian semata-mata untuk menikmati manfaat diskaun tersebut.

Beliau mahu pihak kesatuan pekerja diberi kuasa untuk berunding terus dengan syarikat berkenaan demi menjaga kepentingan pekerja.

“NUBE menegaskan bahawa senarai syarikat terlibat harus diserahkan terus kepada kesatuan, agar kami boleh berunding secara bebas dengan mereka tanpa campur tangan kerajaan.

“NUBE amat bimbang bahawa inisiatif ini mungkin menjadi saluran kepada kepentingan golongan elit untuk menguasai ruang demokrasi pekerja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×