Perlis sasar jualan RM900,000 sempena Festival Permai 2025

Perlis sasar jualan RM900,000 sempena Festival Permai 2025

RAZALI Saad mengagihkan nanas percuma oleh Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia kepada pengunjung bersempena Festival Mango & Agricultural Industry (Permai) 2025 di dataran bersebelahan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), Kangar, Perlis, semalam. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kerajaan negeri me­nyasarkan hasil jualan mencecah RM900,000 sepanjang tiga hari berlangsungnya Festival Mango & Agricultural Industry (Permai) 2025 di dataran bersebelahan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian negeri, Razali Saad berkata, jumlah berkenaan dijangka hasil daripada jualan se­perti ha­rumanis, produk makanan industri asas tani, pelbagai jenis flora, benih-benih pokok dan gerai jualan.

Katanya, festival bermula dari 2 sehingga 4 Mei merupakan gabungan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan (HPPN) dan Festival Mangga Harumanis Negeri Perlis, turut menyediakan pelbagai aktiviti menarik perhatian ramai pengunjung.

“Hasil jualan sentiasa menunjukkan peningkatan setiap tahun dan kali ini dijangka lebih tinggi dengan adanya jualan harumanis selain laman flora ini,” katanya ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.

Hari pertama festival berlangsung cukup meriah dengan orang ramai mula datang sejak pagi bagi menyaksikan pelbagai aktiviti menarik dan jualan yang disediakan.

Sementara itu, Razali berkata, antara aktiviti menarik perhatian adalah agihan nanas percuma kepada 100 pengunjung yang habis tidak sampai lima minit.

Kata Razali, pemberian nanas percuma oleh Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia itu dilaksanakan sepanjang tiga hari festival membabitkan nanas jenis Moris dan MD 2.

“Selain pemberian percuma, sebanyak dua tan metrik nanas juga disediakan untuk dijual kepada pengunjung. MD 2 dijual pada harga RM5 sebiji dan Morris RM3.50 sebiji,” katanya.

Kata Razali, pameran lembu sado juga menjadi antara tarikan sempena festival berkenaan selain laman harumanis dan flora.

“Hari pertama juga menyaksikan sambutan sangat hebat termasuk terdapat pengunjung dari luar negeri ini seperti Kedah dan ada yang datang dari Melaka.

“Festival ini juga mengete­ngahkan keunikan mempelam harumanis Perlis di sam­ping memperkenalkan inovasi pro­duk dihasilkan menggunakan buah ikonik itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×