Memuatkan artikel berkaitan…
BARCELONA: Barcelona dan Inter Milan terpaksa berpuas hati terikat 3-3 dalam aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara pagi ini.
Inter mendahului perlawanan apabila merobek gawang Barca dengan dua jaringan gol menerusi Marcus Thuram dan Denzel Dumfries, sebelum Lamine Yamal merapatkan jurang.
Barca kembali menemui sentuhan dan mencabar aksi pelawat apabila kembali menyamakan kedudukan menerusi Ferran Torres, namun kedudukan itu tidak lama apabila Dumfries menyumbat gol keduanya untuk kedudukan 3-2 sebelum jaringan sendiri Yann Sommer menyebelahi tuan rumah untuk mengikat kedudukan sehingga wisel penamat,
Kemasukan Thuram dalam kesebelasan skuad selepas mengalami kecederaan otot paha sebelum ini ternyata mengubah permainan Inter apabila dia menjaringkan gol pembukaan seawal 30 saat permainan bermula.
Thuram bijak mengambil kesempatan selepas penjaring yang membantu Barcelona menjulang Piala Raja Sepanyol minggu lalu, Jules Kounde gagal mengeluarkan bola dengan baik di kawasan bahaya.
Kedua-dua pasukan akan beraksi dalam aksi kedua di Milan, minggu depan dan salah satunya akan menentang pemenang antara Paris Sait-Germain (PSG) dan Arsenal. – AFP/UTUSAN











