Pemasaran dengan User Generated Content - Utusan Malaysia

Pemasaran dengan User Generated Content

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Pemasaran digital kini sudah menjadi satu landasan sangat penting yang menyokong pelbagai aspirasi keusahawanan. Selain bertujuan melariskan jualan, ia juga merupakan medium bagi memastikan pengukuhan jangka panjang potensi perniagaan berdasarkan kredibiliti produk atau perkhidmatan, penjenamaan serta goodwill organisasi dalam hubungan pelanggan dan prospek pasaran.

Secara dasar, setiap perniagaan pada hari ini bukan sahaja perlu memanfaatkan platform pemasaran digital dalam membina kandungan pemasaran yang berfungsi dalam mempromosi produk dan perkhidmatan semata-mata, tetapi juga perlu memperkukuh engagement atau interaksi perhubungan digital dalam menjana kepercayaan pasaran melalui kaedah User Generated Content (UGC).

Ia merupakan salah satu kaedah pemasaran kandungan dalam bentuk perkongsian pengalaman atau rekomendasi pengguna berdasarkan penulisan artikel, status media sosial, video, foto, review dan seumpamanya yang dibuat oleh para netizen yang juga merupakan pelanggan kepada produk atau perkhidmatan yang dipasarkan. Melalui ka­edah ini, pengusaha produk atau per­khidmatan boleh memanjangkan perkongsian tersebut dengan memuat naik kandungan yang dibuat oleh pengguna di platform digital dan media sosial perniagaan sebagai satu bukti testimoni tulen di samping menyertakan kredit penghargaan kepada pelanggan.

Strategi ini telah terbukti berkesan dalam membantu meningkatkan lagi kepercayaan pasaran terhadap potensi dan kredibiliti sesebuah produk atau perkhidmatan melalui kenyataan positif daripada pihak ketiga iaitu pelanggan. Secara tidak langsung, kenyataan yang telah dimuatnaik dan dikongsikan oleh pelanggan yang menggunakan produk atau perkhidmatan dapat mempengaruhi lebih ramai prospek untuk mencuba dengan melakukan pembelian.

Kaedah ini berbeza dengan strategi pemasaran digital melalui khidmat pemasar berpengaruh atau influencer marketing yang pada kebiasaannya memerlukan para pengusaha atau organisasi perniagaan membina kolaborasi dengan khidmat berbayar kepada individu atau personaliti berpengaruh dalam usaha memasarkan jenama produk atau perkhidmatan melalui brand endorsement kepada audiens dan followers mereka. UGC lebih cenderung kepada tindakan secara sukarela yang dilakukan oleh pengguna produk atau perkhidmatan itu sendiri untuk berkongsi pengalaman dan saranan kepada audiens terdiri dari kalangan keluarga dan rakan-rakan terdekat di ruangan digital dan media sosial.

Atas faktor tersebut, UGC memberi impak yang amat besar atas keaslian kandungan yang dikongsikan. Berdasarkan pandangan ramai dari kalangan peneraju industri turut berpendapat, hanya ada dua kemungkinan seseorang individu itu terpanggil memberikan pandangan berdasarkan pengalaman mengguna sesebuah produk atau perkhidmatan di media sosial, sama ada disebabkan sangat berpuas hati sehingga mencetus tindakan untuk berkongsi keistimewaannya kepada orang lain atau disebabkan tidak berpuas hati dengan hasil penggunaan produk atau layanan perkhidmatan yang diberikan.

Pengaruh UGC ini juga memberi cabaran kepada para peniaga, pengusaha dan organisasi atas pengaruh yang boleh memberi kesan positif atau negatif dalam usaha memperkukuh persaingan pasaran dan kredibiliti penjenamaan dalam era digital kini. Ini di­sebabkan tahap kebolehpercayaan yang tinggi hasil daripada perkongsian pandangan secara jujur daripada para pengguna amat mudah mempengaruhi tindakan prospek lain yang semakin bijak menilai sebelum mengambil keputusan atas pembelian dan langganan.

Justeru itu, mendapatkan UGC yang positif turut menjadi kepentingan kepada setiap perniagaan bagi memastikan kredibiliti produk atau perkhidmatan yang berterusan. Selain memfokuskan capaian maklumat melalui engagement komunikasi prospek dan pelanggan, setiap pengusaha juga perlu menjaga tahap kepuasan pelanggan melalui khidmat selepas jualan dengan sebaiknya bagi menjana lebih ramai pelanggan setia. Ia amat mempengaruhi potensi perniagaan dalam persaingan pasaran era digital kini.

Penulis adalah perunding pemasaran bertauliah dan pakar pemasaran digital. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×