Lokasi jentera dikhuatiri terbenam dikenal pasti

Letupan saluran gas: Lokasi jentera dikhuatiri terbenam dikenal pasti

HUSSEIN Omar Khan (tengah) melawat tempat kebakaran saluran paip gas Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Selangor semalam. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUBANG JAYA: Polis mengenal pasti lokasi sebuah jentera pe­ngorek yang dipercayai terbenam dalam tanah susulan kejadian letupan saluran gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, di sini, pada 1 April lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, siasatan masih diteruskan bagi me­ngenal pasti punca kejadian sebelum kerja-kerja mengorek tanah di kawasan berkenaan dijalankan.

“Bagaimanapun, kerja-kerja mengorek tanah untuk mengeluarkan jentera itu hanya akan dilakukan selepas siasatan punca letupan selesai,” katanya dalam sidang akhbar di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), di sini, semalam.

Memuatkan artikel berkaitan…

Hussein berkata, proses tersebut agak rumit namun perlu dilaksanakan bagi memastikan sama ada jentera itu benar-benar terbenam.

Pada 4 April lalu, beliau memaklumkan pihaknya telah mengenal pasti pemaju, kontraktor, subkontraktor serta pekerja yang terbabit dalam kerja mengorek tanah di lokasi insiden dengan menggunakan dua jentera, termasuk sebuah daripadanya yang dipercayai terbenam dalam kawah letupan.

Hussein berkata, penggalian kawah tersebut penting untuk siasatan terperinci punca kejadian selain bagi mengeluarkan jentera yang tertimbus.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerja mengorek tanah di kawasan berhampiran pusat letupan itu dilakukan bagi tujuan penggantian paip kumbahan yang terletak kira-kira 30 meter dari lokasi kejadian.

“Selain siasatan punca letupan, kita (polis) juga akan menyiasat sama ada kerja pengorekan paip tersebut mempunyai kaitan dengan insiden letupan,” katanya.

Mengulas dakwaan terdapat aktiviti mengorek tanah pada hari pertama Aidilfitri, Hussein berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai perkara tersebut.

Namun, menurutnya, siasatan awal mendapati jentera yang dimaksudkan telah dibawa keluar dari kawasan berkenaan lebih awal bagi tujuan pembaikan sebelum letupan berlaku.

“Siasatan lanjut secara menyeluruh sedang dijalankan termasuk berkaitan dakwaan-dakwaan tersebut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini