PETALING JAYA: Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning perlu dijadikan indikator penting oleh parti-parti politik dalam merangka strategi menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.
Penganalisis politik, Dr. Mazlan Ali berkata, ia bertujuan memastikan pemilihan calon, isu dan pendekatan yang diguna pakai mampu menarik sokongan pengundi.
Katanya, setiap parti perlu memastikan isu yang dibawa sepanjang kempen tidak menyentuh sensitiviti kaum bagi mengelakkan strategi mereka mencetuskan sentimen negatif dalam kalangan pengundi.
“Sebagai contoh, isu kandang babi yang dimainkan Perikatan Nasional (PN) dalam PRK Ayer Kuning tidak memberikan impak positif, malah menjadi bahan troll politik apabila dibangkitkan kembali penglibatan pemimpin mereka sendiri ketika menerajui pentadbiran negeri.
“Keadaan ini menunjukkan kelemahan strategi kempen PN yang gagal mengangkat isu-isu penting seperti kos sara hidup yang lebih dekat dengan rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Keputusan PRK DUN Ayer Kuning Sabtu lalu menyaksikan calon Barisan Nasional, Dr. Mohamad Yusri Bakir, 54, menang dengan majoriti 5,006 undi selepas meraih 11,065 undi secara keseluruhan.
Mazlan berkata, keputusan PRK itu turut membentuk persepsi positif terhadap kerjasama antara BN dan Pakatan Harapan (PH) yang membawa kepada pertambahan undi serta majoriti.
Katanya, perkembangan tersebut memberi gambaran bahawa gabungan parti itu mampu mewujudkan kestabilan politik sekali gus menjamin kemajuan negeri dan negara.
“Persepsi ini penting menjelang PRU16 kerana ia menunjukkan bahawa kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan bukan sahaja berkesan di peringkat pentadbiran malah turut diterima pengundi di peringkat akar umbi,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan berkata, kekalahan PN dalam PRK itu tidak bermakna mereka kehilangan sokongan secara keseluruhan kerana peratusan penurunan undi yang diperoleh masih dalam julat kecil.
Katanya, meskipun jumlah keluar mengundi menurun daripada 75 kepada 58 peratus, penurunan undi PN hanyalah sekitar 10 hingga 12 peratus.
Ia menunjukkan peningkatan relatif jika dibandingkan dengan jumlah pengundi yang keluar mengundi.
“Dari segi angka, PN sebenarnya menambah undi jika dikaitkan dengan peratusan pengundi yang keluar. Tetapi hakikatnya mereka tetap kalah kerana tidak mampu berdepan dengan kerjasama kukuh antara BN dan PH.
“Namun begitu, BN sepatutnya memperoleh majoriti lebih besar berdasarkan kekuatan jentera gabungan kerajaan,” katanya. – UTUSAN











