KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pembangunan projek perumahan rakyat di seluruh negara khususnya di ibu kota diutamakan berbanding pembangunan pencakar langit.
Perdana Menteri berkata, beliau tidak peduli jika ketika era pentadbirannya tiada bangunan pencakar langit dibangunkan, sebaliknya mahu perumahan rakyat terbanyak didahulukan.
Sepanjang lebih dua tahun pentadbiran Kerajaan Madani, sebanyak 468,000 rumah mampu milik telah dibina, diluluskan atau mendapat kebenaran merancang.
Jumlah itu terus meningkat dan dijangka mencapai sasaran 500,000 hujung tahun ini apabila dua lagi projek perumahan rakyat mampu milik mega akan diumumkan oleh kerajaan di Pulau Pinang dan Bandar Malaysia Madani.
Justeru, Perdana Menteri mahu setiap bulan mesti ada projek besar perumahan mampu milik dilaksanakan bagi memenuhi permintaan rakyat terbanyak.
“Setiap bulan mesti ada projek besar perumahan yang saya minta diselaraskan oleh Nga Kor Ming (Menteri Perumahaan dan Kerajaan Tempatan) melalui KPKT sama ada di bandar raya seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuching mahu pun Kota Kinabalu, dinaikkan.
“Kemudian dari semasa ke semasa, Datuk Bandar mesti memberi kelulusan cepat, mesti cekap dan pada masa sama penguatkuasa mesti bersih daripada korupsi,” katanya di Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Rumah Belia Madani dan Rumah Mampu Milik di sini, semalam.
Rumah mampu milik dengan nama Starloft Residence membabitkan pembinaan tiga blok 39 tingkat dengan 1,996 unit.
Setiap unit seluas 820 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air, serta fasiliti bertaraf kondominium selain sebuah masjid serta 10,000 kaki persegi gerai.
Perdana Menteri berkata, sebagai kerajaan yang bertanggungjawab dalam mengendalikan projek perumahan, penekanan harus diberikan kepada rakyat terbanyak yang masih menunggu kediaman munasabah dan mampu milik.
Katanya, dasar Kerajaan Madani tidak pernah menghalang mana-mana projek syarikat swasta, pada masa sama masih mementingkan kebajikan rakyat yang memerlukan.
“Tanggungjawab kerajaan dalam mengendalikan projek-projek (perumahan mampu milik) mesti diberi penekanan kerana jumlah (rakyat) yang menunggu memiliki rumah (dengan harga) munasabah mampu milik yang memenuhi selera dan kepentingan mereka sangat ramai.
“Dasar Kerajaan Madani tidak menghalang mana-mana projek swasta, kerja kita hanyalah percepatan (prosesnya) siapa mampu dia belilah.
“Tetapi harus ada dasar jelas di kalangan pemerintah dan penjawat awam untuk memberi penekanan dalam hal ini, buat apa pembangunan kalau menyebabkan yang kaya bertambah kaya dan yang miskin papa kedana,” katanya.
Anwar berkata, keadaan itu mengakibatkan ada kesenjangan antara kelompok yang kaya terus mendapat faedah tetapi golongan terbanyak tersisih.
“Tidak akan selesai dengan hanya membina rumah di Batu dan di Kepong atau satu, dua projek perumahan Madani, mesti ada perancangan jelas dan pimpinan yang mempunyai tekad jelas,” katanya. – UTUSAN










