GUA MUSANG: Kerajaan negeri ditadbir pembangkang diingatkan tidak hanya bermuka manis semasa memohon peruntukan, namun menghentam Perdana Menteri dan kerajaan sejurus selepas menerimanya.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sikap pembangkang pada setiap kali pilihan raya sering menghentam Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tindakan itu seolah-olah tidak berterima kasih.
Katanya, mereka sepatutnya menunjukkan akhlak, sahsiah politik yang baik bukan sahaja perkataan sebaliknya dari perbuatan.
“Saya lumat (dihentam), tidak salah untuk kita berbeza pendapat. Janganlah, masa minta muka senyum, muka 10 sen. Bila dapat hentam Perdana Menteri balik.
“Jangan begitu, mesti bersyukur dan terima kasih. Bila pilihan raya mereka hentam Perdana Menteri, saya lumatlah,” katanya semasa berucap pada Majlis Penyerahan Bantuan Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) dan Majlis Hari Raya Aidilfitri Kesedar di Dataran Awam Kampung Jerek, di sini semalam.
Ahmad Zahid berkata, beliau tidak mahu menyebut mana-mana individu atau yang berbuat demikian.
“Namun itulah yang berlaku. Situasi ini bukan sahaja berlaku di Kelantan malah Kedah, Perlis dan Terengganu
“Sikap begitu perlu diubah kerana ia sesuatu yang tidak baik. Benar ada peruntukan yang harus disalurkan, tapi yang diberikan oleh Perdana Menteri adalah atas semangat Kerajaan Madani. Salah satu sikap kerajaan Madani adalah ihsan,” ujarnya.-UTUSAN









