40 negara pertikai sekatan bantuan Israel ke Gaza di ICJ

40 negara pertikai sekatan bantuan Israel ke Gaza di ICJ

KANAK-kanak Palestin duduk di sebelah bekas berisi makanan di kem Jabalia di utara Gaza.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMSTERDAM: Israel dijangka berdepan tuduhan melanggar undang-undang antarabangsa berikutan penolakan bantuan ke Gaza, ketika puluhan negara mengemukakan hujah di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam sesi pendengaran selama seminggu yang bermula di The Hague hari ini.

Sejak 2 Mac lalu, Israel sepenuhnya menghentikan semua kemasukan bantuan kepada 2.3 juta penduduk Gaza, dengan bekalan makanan yang disimpan semasa gencatan senjata pada awal tahun hampir habis.

Pada Disember, mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ditugaskan untuk membentuk pendapat nasihat mengenai kewajiban Israel memudahkan penghantaran bantuan kepada rakyat Palestin oleh negara serta kumpulan antabangsa.

Memuatkan artikel berkaitan…

Israel menegaskan tidak akan membenarkan sebarang kemasukan bantuan dan bekalan ke Gaza sehingga pejuang Hamas membebaskan semua baki tebusan.

Minggu lalu, Jerman, Perancis dan Britain menyeru Israel untuk mematuhi undang-undang antarabangsa dengan membenarkan laluan bantuan kemanusiaan tanpa halangan ke Gaza, selepas Israel menegaskan tiada bantuan akan dibenarkan masuk ke wilayah itu, sebagai tekanan terhadap Hamas.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mendakwa sudah mendesak Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk membenarkan kemasukan makanan dan ubat ke Gaza.

Israel sering menuduh Hamas merampas bantuan kemanusiaan yang masuk ke Gaza, meskipun kumpulan itu menafikan sekerasnya dakwaan itu dan menyalahkan Israel terhadap kekurangan bekalan.

Resolusi yang diterima pada Disember oleh 137 daripada 193 negara dalam Perhimpunan Agung PBB meminta Israel untuk mematuhi kewajibannya terhadap penduduk Palestin, sambil menegaskan kebimbangan mengenai situasi kemanusiaan.

Israel, AS dan 10 negara lain mengundi menentang resolusi tersebut, manakala 22 negara memilih untuk berkecuali.

Wakil untuk wilayah Palestin akan menjadi antara yang pertama memberikan hujah di mahkamah The Hague pada Isnin.

Israel tidak termasuk dalam 40 negara yang akan memberikan hujah semasa lima hari sesi pendengaran yang dijadualkan hingga Jumaat.– AGENSI

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN