Belaan Haji Dolah mencari tuan baharu (Siri 3)

Belaan Haji Dolah mencari tuan baharu (Siri 3)

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Petang itu Ishak dan rakan-rakannya melepak sambil berbual kosong. di pangkin rumahnya. Ketika itulah Talib memberi cadangan agar mereka mencuri masuk ke rumah arwah Haji Dolah untuk menyiasat apa yang ada di situ.

“Aku dengar bininya sendiri pun dia tak benarkan masuk dalam biliknya itu, apa kata kita siasat manalah tahu ada benda pelik ke dalam tu,” katanya bersungguh-sungguh.

Rakan-rakannya mengerutkan dahi tidak menyangka sejauh itu difikirkan Talib.

“Kau dah gila? Orang kalau boleh langsung tak nak lalu depan rumah arwah, ini kau pula ajak kita curi masuk. Kau dah hilang akal apa? Jawab Shukor memandang Talib atas bawah.

“Eh, kita masuk waktu sianglah, lagipun mana ada hantu keluar waktu siang. Kita bukan nak mencuri, tapi nak siasat saja,” jawab Talib bersahaja.

Rakan-rakannya terdiam. Walaupun idea tersebut seakan tidak masuk akal, tetapi ada juga benarnya. Namun masing-masing tidak berani menyokong, mereka sekadar diam untuk mendengar idea seterusnya daripada Talib.

Lantas Talib memberi idea kepada rakan-rakannya. Masing-masing mengangguk faham walaupun dalam hati tersimpan perasaan takut dan cuak.

Seperti tarikh yang dijanjikan mereka akhirnya mencuri masuk ke rumah Haji Dolah. Tempat pertama yang mereka tuju adalah bilik Haji Dolah merawat pesakitnya.

“Fuhh, seram juga keadaan rumah ini,” kata Ishak sambil matanya liar memandang sekeliling.

Rakan-rakan lain terus memandangnya dengan raut tidak puas hati.

“Kau boleh jaga sikit tak mulut tu! Cakap jangan main lepas,” kata Talib menyinga.
Ishak tersengih kelat sambil menganggukkan kepala.

Sebaik sampai di hadapan pintu bilik Haji Dolah, Talib lantas membukanya. Nasib mereka baik kerana bilik tersebut tidak berkunci. Namun sebaik melangkah masuk mereka berempat tergamam seakan tidak percaya dengan apa yang dilihat ketika itu.

Di atas meja kecil hadapan mereka kelihatan beberapa barang lama seperti keris, mangkuk tembaga serta beberapa gulung kain berwarna kuning. Di dinding pula tergantung beberapa patung kecil yang diukir seperti wajah manusia.

Shukor lantas mencabut sebuah patung yang terlekat di dinding. Dia membelek-belek ukiran tersebut dengan wajah berkerut, Dia tertanya-dalam hati apa kaitannya patung tersebut dengan ilmu perubatan yang dimiliki Haji Dolah.

“Kalau tak silap aku patung-patung macam ini biasanya orang buat benda yang tak baik. Macam kita nak kenakan seseorang,” kata Talib sambil mengurut janggutnya.

Mereka berpandangan. Memang ada benarnya kata Talib itu kerana sebelum ini mereka pernah menonton cerita-cerita seram dari seberang yang menggunakan peralatan sebegitu.

“Eh dah, jom kita balik. Lagi lama kita di sini lagi seram aku dibuatnya,” kata Ishak perlahan.

Mereka sepakat meninggalkan rumah Haji Dolah, sepanjang perjalanan masing-masing diam membatu tanpa sepatah kata. Fikiran masih lagi merewang teringatkan apa yang berlaku sebentar tadi.

Keesokannya kampung Berembang dikejutkan dengan berita yang menggemparkan. Talib dan rakan-rakannya serentak diserang demam panas sambil meracau-racau. Seperti biasa khidmat Pawang Salim diperlukan apabila berlakunya situasi seperti ini.

Yang peliknya kesemua mereka meracau dengan bertutur dalam bahasa yang sukar difahami.

“Aku rasa budak-budak ni ada buat perkara yang salah,” kata Pawang Salim ketika minum di warung petang itu.

Semua yang ada di situ memandang Pawang Salim dengan hati yang berteka teki. Masing-masing ingin tahu apa yang berlaku sebenarnya.

“Tak apa, kita tunggu sehingga budak-budak itu sembuh. Nanti kita tanya apa yang mereka sudah buat sebelum ini, insya-Allah sehari dua ini pulihlah tu,” sambungnya sebelum beredar.

Memang masin mulut Pawang Salim. Dua hari kemudian Talib dan rakan-rakannya kembali sembuh seperti sediakala. Terus Pawang Salim bertanya tentang apa yang berlaku. Dengan rasa terpaksa mereka menceritakan kisah sebenar.

“Selagi kita tak musnahkan dan buang semua barang-barang Haji Dolah, selagi itulah jelmaannya akan mengganggu penduduk kampung. Tak apa, nanti aku suruh Tok Ketua hubungi isteri arwah, minta kebenaran untuk buang semua benda-benda itu,” tegas Pawang Salim dengan wajah serius.

Dua hari kemudian beberapa penduduk kampung pergi ke rumah Haji Dolah untuk ‘membersihkan’ apa yang sepatutnya. Alhamdulillah, isteri arwah memberi kerjasama penuh. Segala barang-barang perubatannya dikumpul sebelum dimasukkan ke dalam sebuah guni.

“Barang-barang ini tok hendak buang di mana? Tanya Talib ketika ingin beredar.

Pawang Salim sekadar tersenyum.

“Barang-barang ini aku kena buang ke tengah laut, dan pastikan tiada siapa yang jumpa, sebab kalau barang-barang ni mendarat semula di daratan pasti gangguan macam dulu akan berulang lagi di kampung ini,” sambungnya sebelum menghidupkan enjin motosikal. –UTUSAN

BERSAMBUNG
MINGGU DEPAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×