PETALING JAYA: Aksi konsisten Johor Darul Ta’zim (JDT) yang dipamerkan dalam saingan liga musim ini telah menjadikan Harimau Selatan pilihan untuk menjuarai Piala Malaysia apabila menentang Sri Pahang dalam pentas akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.
Pemerhati bola sepak tempatan, Sulaiman Hussin berkata juara Liga Super 11 kali turut memiliki barisan pemain berkualiti dan seimbang di semua bahagian.
“Selain ada barisan pertahanan yang bagus, pemain seperti Arif Aiman (Hanapi), Bergson dan Heberty Fernandes yang merupakan peledak utama pasukan dan pastinya mereka ini perlu dirantai dengan dua lapisan pemain Pahang.
“Berdasarkan prestasi JDT, Pahang perlu merencana taktikal yang mantap dan jika bertahan termasuk dalam perancangan pasukan, saya percaya mereka akan hadir dengan serangan balas berkualiti.
“Bercakap mengenai Pahang, saya fikir mereka sukar untuk bermain secara terbuka kerana mereka tidak mempunyai pemain yang boleh menyimpan bola seperti yang sering dilakukan oleh Kpah Sherman dan Manuel Hidalgo bagi mencipta situasi satu lawan satu,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Bagaimanapun Sherman dan Hidalgo tidak dapat diturunkan dalam aksi final tersebut.
Sementara itu, pemerhati bola sepak negara, Fauzi Pilus turut senada apabila memilih JDT selaku juara Piala Malaysia malah tidak menolak mereka mematikan permainan dengan lebih awal menerusi jaringan pantas.
“Pastinya JDT mahu mendapatkan gol awal supaya mereka boleh mematikan permainan dan penting untuk Pahang elak daripada melakukan kesilapan individu.
“Pemain Pahang perlu bermain dengan berkualiti secara individu dan saya fikir mereka tidak boleh menyerang secara terbuka, sebaiknya menunggu masa yang sesuai untuk melakukan serangan balas pantas,” katanya. – UTUSAN











