SUNGAI BULOH: Penduduk kecewa apabila kerja-kerja pembaikan benteng takungan yang pecah hujung Disember lalu terbengkalai sejak awal tahun ini dan hanya disambung semula semalam selepas insiden sama berulang.
Penduduk Taman Seri Alam, di sini meluahkan rasa kesal apabila usaha membaik pulih struktur benteng yang rosak tidak diteruskan secara konsisten, sekali gus menyebabkan air kembali melimpah masuk ke kediaman mereka awal pagi tadi.
Muhamad Ahmal Abdul Ghani, 39, berkata, dia kecewa kerana barangan rumah yang diganti minggu lepas selepas kejadian hujung tahun lalu kembali rosak apabila air naik semula akibat benteng pecah.
“Paling mengecewakan, kerja terakhir dibuat pada Januari. Selepas itu, senyap saja dan baru hari ini nampak jentolak datang sambung balik kerja.
“Malangnya, hanya selepas rumah kami dimasuki air semula,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.
Tambahnya, dia tersedar sekitar pukul 6 pagi dan terkejut apabila mendapati air sudah naik ke dalam ruang tamu rumah sehingga paras satu kaki.
“Kasut kami semua hanyut dan kesan dari hentaman air yang deras itu menyebabkan pagar rumah saya rosak,” katanya.
Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan benteng kolam takungan air di taman berkenaan pecah lagi awal pagi semalam susulan hujan lebat di kawasan berkenaan dan menjejaskan 35 rumah berhampiran.
la merupakan kali ketiga benteng berkenaan pecah selepas kejadian pertama pada 2014 dan pada 29 Disember tahum lepas kejadian sama berlaku menyebabkan 200 rumah di taman berkenaan terjejas.- UTUSAN











