SEREMBAN: Inovasi pelajar Sekolah Menengah Teknik Tuanku Jaafar (SMTTJ) Seremban yang menghasilkan sabun tablet Wanderlust daripada ekstrak kulit durian dan uncang teh berjaya mendapat pengiktirafan antarabangsa.
Guru Pembimbing Kelab Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) SMTTJ, Ainul Inayah Hamzah berkata, ciptaan pelajar yang dikenali Jaafar Innovators itu memenangi beberapa pertandingan termasuk di peringkat antarabangsa dan yang paling terbaharu pada Februari lalu.
Beliau berkata, Jaafar Innovators terdiri tiga pelajar tingkatan lima iaitu Muhammad Naqib Mikail Mohamad Najib, Nur ‘Ain Raihanah Ahmad Nzryshah dan Noorul Aqil Zahirah Noorulzaki.
“Idea menghasil projek sabun Wanderlust tercetus selepas melihat masalah keracunan makanan terutama dalam kalangan kanak-kanak dan kenaikan kes kanser kulit akibat terdedah kepada sinaran ultra ungu yang tidak dapat diatasi kerana kekurangan antioksidan.
“Wanderlust sabun pencuci tangan berbentuk tablet, dihasilkan menggunakan ekstrak kulit durian dan ekstrak daun teh hijau,” katanya.
Beliau berkata, gabungan dua ekstrak tersebut menghasilkan bahan yang bersifat antioksidan dan antibakteria malah turut dibuktikan melalui hasil kolaboratif bersama Institusi Atta-Ur-Rahman, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam.
“Sabun ini dihasilkan dalam bentuk tablet yang larut dalam air supaya ia boleh digunakan sekali dan mudah dibawa ke mana-mana.
“Gabungan ekstrak itu juga mampu merencatkan pertumbuhan bakteria patogen kulit yang seringkali menyebabkan keracunan makanan iaitu Escherichia coli, Staphylococcus aurus dan Pseudomonas aeruginosa,” katanya.
Jelas beliau, sabun Wanderlust disimpan dalam pembungkusan mampan terdiri daripada 30 tablet dan dijual RM6.
“Pek isi semula mesra alam yang mengandungi 30 tablet turut dijual dengan harga RM30 bagi mengurangkan penggunaan plastik,” ujarnya.
Mengenai pengiktirafan yang diperoleh, Ainul Inayah berkata, Jaafar Innovators merangkul Gold Award, Top 10 Award dan Best Environmental Award di World Youth STEM Invention Innovation peringkat antarabangsa di Medan, Indonesia pada 23 hingga 27 Februari lalu.
“Menerusi Wanderlust kami mendapat Top 30 di Pertandingan Inovasi Sains Teknologi Kejuruteraan peringkat kebangsaan di Universiti Multimedia Cyberjaya 6 Februari 2025,” katanya. – UTUSAN











