Demi Olimpik dua remaja 'berhijrah' ke Thailand

Demi Olimpik dua remaja ‘berhijrah’ ke Thailand

DARI kanan Samsur Midon, Muhammad Ilham Hakim Samsur, Norharis Norasri dan Norasri Mohamad di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang sebelum berlepas ke Thailand.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Dua atlet remaja angkat berat dari Melaka berlepas ke Thailand minggu lalu sebagai persediaan memburu tempat dan merealisasikan impian meraih pingat emas Sukan Olimpik 2032 di Brisbane, Australia.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Naib Presiden Persatuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Ahmad Janius Abdullah berkata, pemergian Norharis Norasri, 13, dari Felda Bukit Senggeh dan Muhammad Ilham Hakim Samsur, 13, dari Taman Nyalas Baru adalah menerusi dana dan sumbangan yang dicarinya serta bantuan daripada Persatuan Angkat Berat Putrajaya dan Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP).

Menurutnya, kedua-dua atlet remaja itu berpindah ke Sekolah Sukan Nakhon Ratchasima, Thailand bermula 15 Mei ini dan akan menjalani latihan intensif selama enam tahun di bawah jurulatih angkat berat Thailand, Chalempol Muaymun.

“Saya melihat Norharis dan Muhammad Ilham sangat berpotensi dan mereka layak untuk menjalani latihan intensif selama enam tahun di Nakhon Ratchasima kerana sekolah ini pernah melahirkan beberapa atlet meraih pingat di Sukan Olimpik.

“Mereka bertolak awal ke sana adalah bagi membiasakan diri dengan keadaan cuaca, masyarakat setempat dan lebih penting rakan-rakan baharu di sekolah sukan tersebut, walaupun sesi persekolahan mereka bermula bulan depan,” katanya.

Sementara itu, bapa kepada Norharis, Norasri Mohamad, 38, seorang ahli perniagaan berkata, dia memberi kebenaran kepada anak kedua daripada empat beradik itu demi mengharumkan nama negara meraih pingat emas Olimpik pertama.

Norasri yang juga Naib Presiden 1 Persatuan Angkat Berat Wilayah Persekutuan berkata, dia yakin dengan kemampuan anaknya untuk menjalani latihan selama enam tahun di sana.

“Anak saya ini cukup kental cuba mengikut jejak langkah abangnya, Norhakim yang mewakili Melaka pada Sukan Malaysia (Sukma) di Sarawak dan saya yakin keupayaannya,” katanya.

Bagi bapa kepada Muhammad Ilham Hakim, Samsur Midon, 56, yang merupakan pesara tentera, awalnya dia ragu-ragu untuk membenarkan anak keenamnya pergi ke Thailand.

“Tetapi setelah berbincang dengan isteri serta kakak dia, Nurul Syasya Khairina yang juga pelapis kebangsaan dalam acara angkat berat, akhirnya saya bersetuju untuk membenarkannya pergi ke Nakhon Ratchasima,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×