PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kontraktor yang benar-benar layak dan terlibat dalam bidang dimohon dipilih menyertai konsortium perniagaan di bawah Gerakan Ekoniaga Madani (GEMA).
Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, Perdana Menteri menekankan supaya pihaknya memastikan pelaksanaan inisiatif itu bebas sepenuhnya daripada penglibatan broker atas angin serta amalan budaya Ali Baba.
Katanya, Perdana Menteri turut menyambut baik pelaksanaan GEMA yang dimulakan pada Januari lalu sebagai usaha memperkasakan usahawan Melayu agar kekal kompetitif di peringkat tempatan dan antarabangsa.
“Teras GEMA ini adalah Ekonomi Madani dan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) dan beliau gembira kerana pelaksanaannya selari dengan dasar kerajaan ketika ini.
“Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa selepas ini akan ada banyak lagi sesi libat urus antara DPMM dan pihak pembuat dasar,” katanya dalam sidang akhbar, semalam.
Terdahulu, Anwar menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya DPMM GEMA Raya 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Sebelum ini, DPMM mengumumkan pelaksanaan GEMA yang menggunakan pendekatan konsortium dengan penglibatan usahawan Melayu termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi mendapatkan akses kepada projek mega yang didominasi syarikat besar.
Mengulas lanjut, Norsyahrin berkata, pengumpulan pemain industri di bawah satu konsortium dalam bidang tertentu akan mewujudkan satu kumpulan yang kukuh dengan dana modal dan kepakaran lebih luas untuk membida projek kerajaan mahupun projek besar lain.
Katanya, GEMA kini memfokuskan kepada 10 bidang industri termasuk solar, pembinaan, telekomunikasi, pertanian dan perkapalan yang setakat ini menerima maklum balas positif daripada industri.
“Dengan cara ini, kita dapat membantu usahawan di bawah kerana usahawan Melayu Bumiputera kini bukan seperti dahulu. Kita juga tidak ketinggalan.
“Jika konsortium Melayu Bumiputera tidak diberi peluang, maka sampai bila-bila pun kita tidak akan dapat pengalaman melaksanakan projek berkenaan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa konsortium solar di bawah DPMM yang menghimpunkan 20 syarikat berjaya memperoleh projek pemasangan stesen solar di 100 stesen minyak Petronas seluruh negara selepas melalui saringan ketat berdasarkan merit oleh Gentari Sdn. Bhd. (Gentari).
“Pada masa yang sama, kita sedang menyusun konsortium dalam bidang lain termasuk telekomunikasi.
“Kita juga menawarkan kepada Perdana Menteri sebarang bentuk bantuan yang diperlukan kerajaan untuk mengenal pasti sama ada projek sampai ke bawah dan diberikan kepada syarikat berkaliber serta berasaskan merit. Kita akan menyalurkan maklumat terus kepada pembuat dasar,” katanya. – UTUSAN










