Tingkat kualiti peribadi dalam penjawat awam

Tingkat kualiti peribadi dalam penjawat awam

PENJAWAT awam yang berkualiti peribadi tinggi akan menjadi agen transformasi dan pemangkin keyakinan rakyat terhadap sistem pentadbiran negara.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM perkhidmatan awam, kecekapan teknikal dan kelayakan akademik sering menjadi fokus utama dalam penilaian prestasi dan pemilihan pegawai. Namun, satu aspek yang jarang disentuh secara mendalam ialah kualiti peribadi seseorang penjawat awam — ciri dalaman yang membentuk integriti, kecekapan emosi dan kebolehan menyesuaikan diri dalam landskap perkhidmatan yang sentiasa berubah.

Hakikatnya, kejayaan penjawat awam dalam melaksanakan tanggungjawab bukan hanya bergantung pada kemahiran atau pengalaman kerja semata-mata. Apa yang turut menjadi pembeza utama adalah bagaimana seseorang itu membawa diri, mengurus tekanan, berinteraksi dengan masyarakat dan membuat keputusan secara beretika. Nilai-nilai seperti jujur, bertanggungjawab, berempati dan cekal bukan sekadar pelengkap, malah menjadi teras kepada keberkesanan penyampaian perkhidmatan awam yang berwibawa.

Lima aspek utama kualiti peribadi dikenal pasti iaitu:

  • Keterbukaan kepada pengalaman –Penjawat awam yang berfikiran terbuka sentiasa bersedia menerima perubahan dasar, adaptif terhadap inovasi digital serta berani mencuba pendekatan baharu dalam penyampaian perkhidmatan. Mereka tidak selesa berada dalam zon selesa dan bersedia untuk melakukan pembelajaran sepanjang hayat.
  • Keprihatinan – Ini merangkumi rasa tanggungjawab, kemampuan mengurus emosi serta keupayaan membuat keputusan yang rasional dalam tekanan. Penjawat awam yang prihatin mampu menjaga kepentingan awam dengan telus dan berhemah.
  • Ekstraversi – Mereka yang bersifat terbuka, yakin dan mudah didekati mampu menjalin hubungan kerja yang baik antara jabatan, rakan sekerja dan komuniti. Sikap proaktif ini penting dalam memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap perkhidmatan kerajaan.
  • Kebersetujuan – Ini merujuk kepada sikap saling menghormati, kerja berpasukan dan keikhlasan dalam membantu rakyat. Penjawat awam yang mempunyai empati tinggi akan lebih peka terhadap keperluan pelanggan dan bertindak dengan penuh ihsan.
  • Efikasi kendiri – Pegawai yang mempunyai keyakinan terhadap kebolehan diri untuk menyelesaikan tugasan akan kekal tabah, cekap dan bertanggungjawab dalam mendepani cabaran. Ini adalah antara indikator utama keberkesanan pemimpin dalam sektor awam.

Malangnya, dalam banyak sistem penilaian dan latihan sedia ada, aspek ini masih belum dijadikan fokus utama. Kita masih terlalu bergantung kepada gred akademik, pengalaman kerja dan kecekapan teknikal, sedangkan kualiti peribadi mampu memberi impak langsung kepada mutu penyampaian perkhidmatan awam.

Persoalannya, adakah kita menilai dan membentuk kualiti peribadi ini secara sistematik dalam proses kenaikan pangkat, pelantikan atau latihan kepimpinan? Sudah tiba masanya pihak berkuasa mempertimbangkan pendekatan lebih holistik, berani dan radikal dalam memastikan kualiti peribadi penjawat awam sentiasa terpelihara. Penekanan terhadap aspek integriti, daya tahan, komunikasi dan empati seharusnya diberi tempat yang setara dengan kompetensi lain dalam sistem pembangunan sumber manusia.

Penjawat awam adalah wajah kerajaan. Kelemahan dalam perwatakan dan sahsiah mereka akan memberi gambaran buruk terhadap sistem keseluruhan. Sebaliknya, penjawat awam yang berkualiti peribadi tinggi akan menjadi agen transformasi dan pemangkin keyakinan rakyat terhadap sistem pentadbiran negara.

Dalam usaha kita mendepani cabaran dasar, ekonomi dan sosial, melahirkan penjawat awam yang bukan sahaja cemerlang di atas kertas tetapi juga utuh jiwa dan karakternya merupakan keperluan yang mendesak dan perlu dibuat tindakan segera. – UTUSAN

DR. AZAD IQRAM NADMILAIL
Kementerian Pendidikan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×