Tahsin, tadarus maya, seronok dan jimat masa - Utusan Malaysia

Tahsin, tadarus maya, seronok dan jimat masa

Demi mencari keberkatan Ramadan, usia buka halangan Grup Tadarus Online belajar menggunakan kaedah panggilan video.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sejak pandemik Covid-19 menyelubungi dunia, umat Islam amat terkesan dengan cara ibadah yang biasa dilakukan secara bersemuka seperti belajar mengaji dan bertadarus.

Kini, selepas setahun umat Islam seantero dunia, khususnya negara ini, berdepan pandemik masing-masing sudah mulai membiasakan diri menggunakan kaedah maya menerusi aplikasi video dalam beribadah.

Biarpun pada mulanya rasa kurang puas dan tidak selesa, tetapi itu sahaja pilihan ada dalam usaha negara menangani penularan Covid-19.

Cara baharu itu langsung melunturkan hasrat Grup Ihya Ramadan Tahsin 2021, khatam al-Quran sebelum Syawal tiba.

Ketua kumpulan, Datin Dr. Leez Abu Hassan, 53, berkata, tradisi mengaji, tahsin dan khatam al-Quran beramai-ramai dilakukan saban tahun.

Namun apabila kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lepas, mereka terpaksa menjayakan misi itu secara maya.

Timbalan Presiden 1 Peniagawati dan trainer keusahawanan dari Ampang, Selangor ini berkata, sebelum ini sejak tahun 2017 mereka berkumpul di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Namun sudah dua kali Ramadan, aktiviti ini dilakukan mengikut norma baharu dengan menggunakan aplikasi komunikasi video Zoom sebagai perantaraan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Dr. Leez Abu Hassan menyifatkan peluang membaca al-Quran secara dalam talian memudahkan terutamanya buat wanita berkerjaya.– UTUSAN/Julie Roshana Akma Shafee

Kumpulan itu terdiri daripada 34 orang peserta itu dibimbing oleh Sheikh Mohamed El-Mongy dari Kuwait, setiap hari sepanjang Ramadan selama tiga jam bermula pukul 9 pagi.

Kelas tahsin bertujuan memperelokkan bacaan al-Quran dari segi makhraj, sifat huruf, harakat dan cara waqaf bacaan.

“Pada mulanya agak sukar untuk berubah mengikut norma baru ini, tetapi selepas setahun rata-rata ahli dapat menerima perubahan ini.

“Paling penting sewaktu mengikuti kelas, saya sentiasa berpesan agar semua peserta memberi kerjasama. Mereka perlu memastikan persekitaran sekeliling tempat mengaji itu bebas daripada diganggu anak dan bunyi bising lain,” katanya.

Bagi memastikan proses pembelajaran dapat berlangsung tanpa gangguan, setiap peserta perlu memilik peralatan lengkap termasuk peranti dan liputan internet yang lancar.

“Kelengkapan sempurna memudahkan misi kami untuk belajar. Tidak kiralah walau di mana sahaja berada, mereka boleh mengikuti kelas ini mengikut tarikh dan waktu ditetapkan.

“Kalau talian internet sentiasa terputus-putus, ia boleh mengganggu tumpuan semua peserta yang sedang khusyuk membaca al-Quran,” katanya.

Bersyukur Masih Ada Peluang

Salah seorang peserta grup Ihya Ramadan Tahsin 2021, Datin Rashidah Yoosuff, 47, mengakui membaca al-Quran dalam talian memang tidak sama rasanya seperti berada di dalam masjid.

Kepuasan itu berbeza, namun disebabkan mahu mencari keberkatan hadir majlis ilmu, beliau berusaha menghadirinya secara berguru biarpun menerusi platform maya.

“Walaupun hanya bertemu di alam maya, saya bersyukur kerana masih ada peluang untuk bersama-sama mengaji beramai-ramai dengan rakan-rakan.

“Kalau dibandingkan dengan tahun lepas, saya dapati peserta nampak lebih bersedia untuk belajar kerana lebih berpengalaman,” katanya.

Asalkan selesa, Rashidah Yoosuff ada banyak pilihan untuk mengaji di mana-mana ruang di rumahnya.

Sheikh Mohamed biasanya akan terbang ke Malaysia tiap kali Ramadan tiba namun sejak tahun lepas, beliau akur hanya boleh membimbing secara dalam talian sahaja.

“Walau jauh namun kami terasa dekat dengan Sheikh Mohamed kerana boleh melihat setiap wajah yang muncul di dalam aplikasi video tersebut,” katanya.

Berkongsi mengenai rutin pengajian grup Ihya Ramadan Tahsin 2021, Rashidah berkata, setiap kali kelas berlangsung ia akan dimulai dengan bacaan doa oleh Sheikh Mohamed.

Setelah semua ahli muncul barulah, kelas bermula.

“Kami baca lebih kurang 24 muka surat setiap hari dan bila tamat waktu kelas kami akan menyambung surah yang selebihnya pada keesokan harinya. Pada mulanya kami rasa tidak sempat untuk mengejar membaca banyak muka surat. Tetapi lama-kelamaan kami boleh melakukannya,” katanya.

Rashidah menjelaskan, norma baharu tidak seharusnya menghalang individu melakukan aktiviti bermanfaat yang selalu kita dilakukan, khususnya berkaitan dengan menimba ilmu agama.

“Kita perlu ikut perubahan. Mengaji beramai-ramai walaupun hanya secara online, satu-satunya pilihan yang ada waktu ini.

“Lebih daripada itu, bila pergerakan kita terhad dan tidak boleh ke mana-mana sesuka hati, ada baiknya kita mendekatkan diri dengan Allah.

“Al-Quran diturunkan pada Ramadan oleh itu mengajilah supaya dapat pahala dan keberkatan bulan mulia ini,” katanya.

Selesa mengaji di rumah

Sejurus PKP diumumkan tahun lalu, Ustazah Norizan Md. Nata, 48, sudah bersedia melakukan norma baharu mengaji secara dalam talian.

Lantaran belajar dan mengaji secara bersemuka tidak lagi boleh dipraktikkan dalam mengekang peningkatan kes Covid-19, tanpa berlengah, beliau mengendalikan tadarus al-Quran secara dalam talian.

“Masuk tahun kedua tahun ini, kelas masih berjalan seperti biasa. Ada enam kumpulan di bawah kendalian saya dan setiap grup ada lima orang peserta. Setiap peserta akan mengikut giliran membaca empat muka surat yang telah ditetapkan oleh guru.

“Satu hari satu juzuk dan setelah selesai juzuk tersebut kami akan menyambung juzuk lain pada keesokan harinya.

“Aktiviti ini akan diteruskan setiap hari sehingga mereka semua khatam,” katanya yang menjelaskan tahun ini mereka mendapat bimbingan daripada guru agama, Khadidja Nachef dari Amerika Syarikat

Norizan mengakui, tidak pernah terlintas dalam fikirannya akan melalui norma baharu iaitu bertadarus secara dalam talian. Malah beliau menganggap ia adalah sesuatu yang mustahil dilakukan.

Namun segala-galanya berlaku atas kehendak Allah.

“Masa awal buka kelas tadarus dulu, ramai peserta wanita berusia 50-an kurang mahir menggunakan aplikasi video secara online ini. Tetapi Allah sentiasa bagi ilmu kepada mereka yang berkehendak dan sekarang mereka sudah selesa kerana sudah boleh membiasakan diri menggunakan kaedah baharu ini.

“Saya masih ingat lagi ketika mula-mula hadir kelas secara online, ada antara peserta yang rasa tidak puas hati sebab tidak dapat membaca secara bersemuka bersama rakan-rakan dan guru.

“Tetapi kini berbeza pula apabila saya mengajak menghadiri kelas bersemuka, ramai yang menolak dan lebih selesa mengaji secara online. Alasan mereka disebabkan Covid-19, mereka tidak berani keluar rumah dan lagi selesa mengaji di hadapan gajet pilihan di rumah masing-masing,” katanya mengulas mengenai peringkat awal menganjurkan kelas secara dalam talian.

Guru agama dari Klang, Selangor ini memiliki lebih 13 tahun pengalaman mengajar al-Quran. Dengan perubahan landskap pengajaran dan pengajaran al-Quran, beliau kini berasa lebih puas dapat membantu sesiapa sahaja membaca al-Quran dengan baik dan lancar.

“Walau individu sudah khatam al-Quran, kita perlu terus belajar dan memperbaiki bacaan al-Quran. Belajar kena ada guru. Kalau tidak ada guru ibarat seperti diri terumbang-ambing dalam mencari ilmu,” katanya mengakhiri pertemuan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×