Belaan Haji Dolah mencari tuan baharu (Siri 2)

Belaan Haji Dolah mencari tuan baharu (Siri 2)

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Namun sebaik sahaja lampu motosikalnya menyuluh ke hadapan tiba-tiba darahnya tersirap, jantungnya berdegup kencang. Sah, sosok yang berada di hadapannya ketika itu ialah jelmaan Haji Dolah. Mukanya hitam seperti hangus terbakar, baunya pula busuk seperti bangkai.

Apa lagi, tanpa buang masa terus Talib pecut motosikalnya sehinggakan segala lopak dan bonggol diredahnya. Bukan itu sahaja, habis juga pokok-pokok ubi yang ditanam di pinggir jalan dilanggarnya.

Tetapi bukan semua pula yang percaya dengan cerita-cerita sebegitu. Misalnya, Ishak anak Siak Manan, dia langsung tidak percaya dengan cerita mistik begitu, Baginya apa yang diperkatakan mereka hanyalah cerita dongeng yang sengaja direka-reka untuk menakutkan penduduk kampung.

“Kamu semua ini banyak sangat layan cerita hantu, sebab itulah percaya sangat dengan benda-benda karut marut macam ini, zaman moden mana ada hantu. kamulah yang jadi hantu adalah,”katanya tertawa.

Kawan-kawannya yang mendengar sekadar mencebikkan bibir menyinga. Timbul juga rasa geram kerana apa yang diperkatakan dianggap rekaan. Dalam hati masing-masing mendoakan agar Ishak ‘jumpa’ sendiri jelmaan tersebut. Biar padan dengan mukanya.

Apa yang mereka harapkan akhirnya jadi kenyataan. Malam berikutnya ketika Ishak pulang dari pekan dia tercium bau yang amat busuk seakan bau bangkai ketika melewati simpang di rumah Haji Dolah. Ketika matanya liar melihat sekeliling, ketika itulah dia tergamam apabila terlihat satu lembaga seakan pocong berdiri di bawah pohon ara berdekatan.

Tanpa fikir panjang Ishak memecut motosikalnya, tapi nasibnya tidak baik apabila dia terbabas ke dalam parit. Keesokkannya Ishak demam meracau sehingga terpaksa panggil Imam Kadir memulihkannya.

“Aku dah kata hari tu tapi kau tak percaya… tengok sekarang apa jadi pada kau? Kau percaya cakap aku kan?,” Tanya Talib sambil tertawa mengekek. Rakan-rakan lain yang berada di situ turut ketawa bersama.

Cerita hantu Haji Dolah semakin tersebar sehinggakan sudah ramai yang tidak berani keluar malam. Warung Pak Samad dan kedai runcit Ah Leng yang sebelum ini menjadi tempat anak muda melepak sehingga larut malam sudah ditutup seawal Maghrib. Orang kampung sudah tidak berani keluar malam lagi gara-gara takut terserempak dengan hantu Haji Doilah. Kata orang, hantu raya belaan Haji Dolah ingin mencari tuan baru. Walaupun susah untuk dipercayai, namun ada sahihnya kerana isteri arwah sendiri pernah bercerita tentang hal tersebut kepada beberapa saudara dekatnya.

Kebetulan arwah pula memang tidak dikurniakan anak untuk mewarisi ilmu yang ditintutnya, Mek Som pula awal-awal lagi sudah tidak berminat apatah lagi hendak mengambil alih belaan arwah, dia pula orang yang kuat sembahyang, berbeza dengan sikap suaminya yang tidak pernah menjejakkan kaki ke surau ataupun masjid.

Pernah juga beberapa bomoh dan ustaz datang untuk memulihkan keadaan di kampung tersebut namun redanya cuma sekejap sahaja, kemudian cerita yang sama berulang kembali.

“Entahlah, nampaknya kena cari bomoh yang betul-betul handal untuk pulihkan kampung ni, sekejap je redanya, lepas itu jadi balik,” kata Pawang Salim kepada beberapa penduduk kampung.

“Aku rasa kamu semua kena tebang pokok ara di depan rumahnya. Dekat situlah tempat hantunya merayau waktu malam,” sambungnya lagi.

Sekarang ini kebun Haji Dolah yang terletak di belakang rumahnya sudah dipenuhi lalang dan semak samun. Penduduk kampung yang kebetulan punya kebun berdekatan dengan tanahnya sudah tidak berani ke sana, bila ditanya mereka hanya menjawab takut terserempak dengan hantu Haji Dolah.

Ketua Kampung Berembang, Haji Salam sudah pening kepala. Setiap hari ada sahaja yang mengadu kepadanya tentang hantu Haji Dolah. Dia sudah hilang idea, sebelum ini sudah beberapa bomoh dan ustaz dipanggilnya namun masih tiada beza.

“Tak apalah, nanti aku cuba ikhtiar lain. Aku cuba cari mana-mana ustaz yang handal untuk pulihkan kampung ni. Itulah dulu masa arwah hidup bukan main kamu semua sanjung, siap cakap arwahlah bomoh yang paling handal tiada tandingan, bila jadi macam ini semua masalah tuju dekat aku,” katanya memulangkan paku buah keras kepada beberapa penduduk yang sedang bersarapan di warung Pak Samad pagi itu.

Semua yang ada di situ tertawa kecil melihat telatah Haji Salim yang seakan mati idea.

“Iyelah tok, masa dia hidup siapa yang berani sangkal dia. Nanti kalau kita mengata, dia dapat tahu, habislah! Tak pasal-pasal dia hantar hantunya ke rumah kita,” jawab Hussin tersengih.

Menyinga Haji Salam mendengar jawapan anak buahnya.

BERSAMBUNG
MINGGU DEPAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×