PETALING JAYA: Pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) mencipta sejarah sebagai pasukan yang sukar digugat oleh mana-mana kelab di negara ini apabila menjulang semua trofi untuk musim 2024/2025.
Jumlah keseluruhan trofi itu dikira berdasarkan kepada pencapaian keseluruhan melibatkan peringkat akar umbi hingga kepada pasukan senior serta futsal.
Berdasarkan kepada situasi terkini, skuad senior JDT yang dibimbing Hector Bidoglio sudah merangkul tiga trofi iaitu Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super.
JDT II pula muncul juara Piala MFL selepas membelasah Penang FC II 7-0, kelmarin sekali gus memastikan pasukan itu mengatasi Selangor dengan kelebihan satu mata.
JDT III dan JDT IV juga tidak ketinggalan merangkul kejuaraan apabila kedua-dua pasukan masing-masing memenangi trofi Piala Presiden dan Piala Belia.
Peringkat akar umbi pula menyaksikan skuad JDT Bawah 17 Tahun (B-17) muncul juara Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dan Liga Remaja KPN/FAM.
Skuad JDT B-15 pula meraih tiga trofi iaitu MSSM, Singapore Youth League (SYL) dan La Liga Youth Tournament.
Skuad JDT B-14 pula tampil bergaya dengan merangkul trofi Supermokh Cup. Skuad JDT B-13 dan B-12 masing-masing meraih satu trofi iaitu SYL dan La Liga Youth Tournament.
JDT turut mendominasi dalam sukan futsal apabila muncul juara Liga Perdana Futsal Malaysia.
Pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail menyifatkan kejayaan dikecapi dalam semua peringkat adalah hasil perancangan yang betul dan tepat oleh pengurusan tertinggi kelab itu.
Katanya, hasil perancangan yang teliti dan sempurna sama ada di dalam mahupun di luar padang, ia berjaya membuahkan hasil yang konsisten buat skuad Harimau Selatan dengan kekal mendominasi saingan domestik, bukan saja melibatkan skuad utama malah rentak sama turut diperagakan oleh pasukan bawahan kelab itu.
“Apabila kepala betul, ekor pun betul. Kejayaan berterusan sepanjang 12 tahun di dalam dan luar padang.
“Kejuaraan dari pasukan senior hingga pasukan-pasukan junior, kejayaan di peringkat antarabangsa dan domestik, infrastruktur, dan pembangunan pemain muda. Rekod-rekod dan fakta yang tidak boleh dipertikaikan,” kata Tunku Ismail dalam Insta Story peribadinya.
JDT berpeluang menambah satu lagi trofi iaitu Piala Malaysia jika berjaya menumbangkan Sri Pahang FC di pentas akhir trofi itu pada 26 April ini. – UTUSAN










