Empat rakan nafi rompak, cederakan dua individu

Empat rakan nafi rompak, cederakan dua individu

EMPAT rakan mengaku tidak bersalah ketika didakwa di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang atas dua pertuduhan iaitu melakukan rompakan sehingga mendatangkan kecederaan terhadap dua individu antara Mac lalu hingga awal bulan ini. - UTUSAN/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH: Empat rakan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan iaitu melakukan rompakan sehingga mendatangkan kecederaan terhadap dua individu antara Mac lalu hingga awal bulan ini.

Tertuduh, R. Jegatisvaran, 35; R. Keshen Raj, 21; T. Naarentheran, 21; dan R. Rakesh Ruhilan, 21, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan secara serentak oleh jurubahasa di hadapan Hakim Nor Azah Kasran.

Mengikut pertuduhan pertama, keempat-empat mereka didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan semasa merompak motosikal jenis Yamaha Y125ZR milik seorang lelaki berusia 25 tahun.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di belakang sebuah pondok kosong di Jalan Telaga Air, Butterworth kira-kira pukul 5.30 petang pada 23 Mac lalu.

Atas kesalahan itu, masing-masing didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh 20 tahun selain boleh juga dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua pula, kesemua tertuduh termasuk seorang lagi yang masih bebas didakwa merompak dua telefon bimbit sehingga mendatangkan kecederaan ke atas pemilik yang berusia 17 tahun di kawasan padang bola Flat Mak Mandin, Taman Sukaria kira-kira pukul 2 pagi, 8 April lalu.

Keempat-empat mereka yang didakwa mengikut seksyen yang sama seperti pertuduhan pertama juga mengaku tidak bersalah dan mohon untuk dibicarakan.

Terdahulu, ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Rifaie Mohamed Riyaludin tidak menawarkan sebarang jaminan atas alasan keempat-empat tertuduh dikhuatiri akan mengganggu mangsa.

Bagaimanapun, P. Vaasudevan yang mewakili kesemua tertuduh memohon jaminan serta bersedia untuk mematuhi syarat tambahan yang dikenakan mahkamah.

“Tertuduh pertama iaitu Jegatisvaran sudah berkahwin, memiliki seorang anak dan bekerja menjual ‘scrap metal’ manakala Keshen Raj perlu menanggung ayah yang berusia dengan pendapatan RM1,700 sebulan.

“Naarentheran bekerja sebagai penghantar kurier dan tidak memiliki gaji tetap serta Rakesh Ruhilan pula tidak bekerja,” katanya.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM18,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 14 Mei depan sebagai tarikh untuk serahan dokumen sementara menunggu laporan perubatan mangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×