HARLEY-DAVIDSON memang mempunyai beberapa model yang ikonik.
Antaranya ialah Road King, Street Glide, Road Glide, Sportster, Dyna dan Fat Boy. Demi untuk memastikan produk mereka kekal relevan, Harley terpaksa mengubah aspek teknikal kesemua produk mereka dan walaupun ada yang kurang berjaya kerana dirasakan terlalu berbeza dari konsep asal, Fat Boy generasi terkini memang terbukti lebih relevan tetapi mampu mengekalkan ciri-ciri estetik model tersebut.
Dipacu oleh enjin Milwaukee Eight 114 dengan sesaran 1,868 cc dan transmisi enam kelajuan manual, ia cuma menghasilkan 94hp dari serendah 4,750 rpm dan 161 Nm pada 3,000 rpm.
Namun begitu, kadar tenaga tidak begitu penting kerana Harley lebih mementingkan rasa daya kilas yang boleh dicapai dari putaran enjin rendah dalam apa jua nisbah gear dan Fat Boy ini masih mempunyai karakter sedemikian.
Tayar-tayar kekal gemuk, tetapi diberikan tayar teknologi terkini dari Michelin dengan profil atau dinding tayar yang lebih rendah. Ini memungkinkan penulis menunggang dengan lebih lincah kerana Fat Boy generasi ini terasa lebih mudah untuk ‘dibaling’ ke kiri dan ke kanan.
Seronok ialah perkataan terbaik untuk menerangkan pengalaman tunggangan Fat Boy ini dan 10 tahun lepas, ini tidak mampu dibayangkan langsung.
Berat menghampiri 320 kilogram (kg) tidak terasa langsung kerana kelincahan akibat sistem gantungan dan tayar tersebut. Sistem gantungan boleh laras dari unit ‘monoshock’ di belakang yang tersorok memang satu tindakan bijak.
Ia nampak tradisional, tetapi sebenarnya modern dari segi kerangka, sistem gantungan dan enjin. Ini yang penting tetapi harus difahami bahawa Harley perlu berbuat demikian untuk menjadikan produk-produknya lebih berdaya saing dan enjinnya boleh lulus piawaian pasaran dunia.
Lampu-lampu yang dibekalkan ialah dari jenis LED yang cukup terang, terutama lampu hadapan. Suis lampu isyarat kekal tradisi Harley, ada satu di kiri dan kanan hendal.
Paparan meter memang sangat 80an, di mana cuma ada satu paparan LCD untuk memberitahu kadar bahanapi dalam tangki. Bagi jentera berharga RM130,000, memang tidak masuk akal tetapi peminat Harley kebanyakannya lebih mementingkan gaya retro.
Skrin LCD berwarna tidak menampilkan gaya tersebut.
Paling penting, keselesaan. Ia mampu ditunggang jauh tanpa memberikan kesan gegaran kuat. Yang kurang ialah bunyi di mana sistem ekzos standard dirasakan kurang ganas.
Penggunaan krom memang banyak, dari ‘fork’ dan lampu hadapan, kemasan meter, hendal dan pelbagai. Krom yang digunakan memang tebal dan premium, sama seperti fender roda hadapan yang dibuat dari logam, bukan plastik.

Ujian terbaik ialah bila penulis menunggang Fat Boy ini di dalam kawasan bandar. Kesesakan lalu lintas di Jalan Tun Abdul Razak memang terbukti tetapi motosikal mudah untuk dikendalikan.
Daya kilas yang tinggi bermakna penulis kurang keperluan untuk menukar nisbah gear. Hendal yang nampak lebar itu sebenarnya masih boleh melepasi ruang antara kenderaan dan titik graviti yang rendah bermaksud penunggang mampu dengan mudah mencari kestabilan ketika kelajuan rendah.
Ruang kargo memang terbatas kepada satu beg kulit yang diikat pada lengan ayun sebelah kiri, dan ia adalah peralatan tambahan.
Harley yang standard memang betul-betul kosong: contohnya sarung getah pemegang hendal yang saling tak tumpah seperti motosikal kapcai serta getah tombol kaki (foot peg) yang nampak benar-benar murah.
Memang normal untuk pembeli Harley melengkapkan motosikal mereka dengan pelbagai aksesori sebelum keluar dari dewan pameran pun.
Ini mungkin antara punca kenapa sebagai sebuah jenama, Harley mendapat lebih keuntungan dari jualan aksesori dan ‘merchandise’ seperti baju, seluar, jaket dan sebagainya.
Gaya hidup adalah sesuatu yang menjadi sasaran Harley dan ia sudah diterima sebagai satu jenama global yang bukan hanya berpaksi kepada gaya hidup Amerika Syarikat (AS) sahaja.
Harga menjadi satu lagi daya tarikan kerana selepas dipasang di Thailand melalui projek pemasangan tempatan (CKD), sudah wujud model-model yang hadir dengan harga yang lebih ‘mampu’.
Model-model legenda bagaimanapun datang dengan harga yang cukup premium, mengekalkan taraf Harley sebagai jenama mewah.
Bagi mereka yang merasakan Harley Davidson ialah satu model untuk penunggang poyo, mungkin sudah tiba masa untuk anda mencuba sendiri kerana mana tahu, poyo itulah yang sesuai dengan diri anda sekarang!
Spesifikasi:
Enjin: Milwaukee-Eight V-Twin 1,868cc EFI
Tenaga maksimum: 94hp @ 4,750 rpm
Daya kilas maksimum: 161 Nm @ 3,000 rpm
Transmisi: enam kelajuan manual
Berat basah: 317 kg dengan bahan api
Harga: RM135,000-UTUSAN









